25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

MN adalah lawan sebenar yang amat digeruni PH

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR MOHD ZUHDI MARSUKI

Muafakat Nasional (MN) dipelopori oleh UMNO dan PAS atas teras penyatuan ummah yang berusaha untuk mencapai Malaysia yang sejahtera.

Melalui MN ini tunggak utama Perlembagaan Persekutuan dan jatidiri asal Malaysia dipertahankan, seterusnya menginspirasikan satu citra baru untuk kesejahteraan Malaysia.

Semasa perisytiharan MN pada 14 September 2019, UMNO adalah anggota Barisan Nasional (BN), manakala PAS pula bersama-sama dengan Gagasan Sejahtera (GAGASAN).

Secara tidak langsung MN turut melibatkan pemuafakatan antara BN dan GAGASAN, yang masing-masing gabungan diwakili oleh UMNO dan PAS.

Semasa PRK Tanjung Piai, MN bersetuju supaya kerusi itu ditandingi oleh MCA yang merupakan parti komponen BN, sebaliknya BERJASA yang merupakan parti gabungan GAGASAN tidak bersetuju lalu mereka meletakkan calon.

Kesan daripada tindakan BERJASA tersebut tidaklah menjejaskan hubungan dalam MN, hanya GAGASAN bergolak.

PAS UMNO
MOHD ZUHDI MARSUKI. – Gambar: Facebook

Menjelang PRN Sabah usaha dilakukan untuk mendaftar Perikatan Nasional (PN) sebagai satu lagi gabungan kepada parti-parti di Malaysia sama seperti BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pakatan Harapan (PH).

Dengan pendaftaran PN tersebut dan PAS salah satu penajanya, maka terdapat empat gabungan parti-parti politik berdaftar di Malaysia.

Manakala GAGASAN kekal sebagai gabungan parti-parti politik yang tidak berdaftar. Meskipun GAGASAN tidak menonjol dalam persada politik Malaysia masa kini, ia terus wujud berperanan menyumbang dalam kerajaan secara langsung dan tidak langsung.

Terdapat juga cadangan supaya parti-parti yang bersama PAS ini menyertai PN yang sudah berdaftar.

Ketika berlangsung PRN Sabah wujud satu lagi gabungan parti-parti politik iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada parti-parti politik yang berada dalam PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

GRS bukanlah satu gabungan berdaftar, sebaliknya gabungan longgar sebagai pakatan menghadapi pilihanraya dan membentuk kerajaan selepasnya.

Advertisements

Kerajaan Persekutuan dan beberapa Kerajaan Negeri pada realitinya tidak dibentuk oleh sesebuah gabungan parti-parti politik sama gabungan berdaftar atau tidak berdaftar.

Kerajaan Persekutuan umpamanya, bukanlah kerajaan PN kerana BN dan GPS tidak berada di dalam PN. Ia hanya satu persefahaman membentuk kerajaan bersama antara PN, BN dan GPS.

Oleh sebab itu, apabila UMNO menyatakan mereka tiada hubungan dengan BERSATU selepas Parlimen dan DUN dibubarkan bukanlah satu keputusan yang pelik kerana hubungan kedua-dua parti hanyalah persefahaman membentuk kerajaan sahaja.

Demikian juga GPS, kelihatannya selepas pembubaran, mereka juga akan hadapi PRU ke-15 sendirian.

Melihat kepada kerencaman politik Malaysia dengan kepelbagaian gabungan parti-parti politik seperti ini, iaitu PN, BN, GPS, PH, GRS dan GAGASAN, persoalan yang timbul ialah, di mana MN?

Sebenarnya, MN adalah lawan sebenar kepada PH. Dengan erti kata yang lain, sekiranya berlaku pertembungan dua pihak terbesar dalam PRU ke-15, ia adalah MN dan PH.

MN perlu menjadi pengikat kepada PN, BN dan sebolehnya sekali dengan GPS. Peranan sebagai pengikat inilah yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pelopor MN iaitu UMNO yang mewakili BN dan PAS yang boleh dilihat mewakili PN.

Sekiranya boleh diusahakan ada wakil pula dari GPS, ia adalah yang paling baik untuk melengkapkan tujuan MN ke arah integrasi nasional.

Semangat di dalam MN tiada abang besar dan tiada adik kecil, yang ada hanyalah rakan kongsi (PN, BN dan mungkin GPS) yang berhasrat untuk mempertahankan tunggak Perlembagaan Persekutuan dan jati diri asal Malaysia.

Bagi tujuan tersebut, tiada keperluan untuk ketika ini MN didaftarkan yang menrencamkan lagi situasi politik Malaysia. Cukup MN menjadi majlis perundingan wakil ketiga-tiga gabungan.

Kesimpulannya, sekiranya ditanya ke manakah halatuju MN selepas kerajaan PH tumbang yang membawa kemudiannya kemunculan PN dan GRS, maka gambaran yang paling ringkas dan jelas yang saya boleh tegaskan, MN adalah lawan sebenar PH.

MN-lah yang boleh mengikat PN, BN dan diharapkan selepas ini disertai pula oleh GPS. Sudah pasti wajah baru MN ini atau MN 2.0 ini amat digeruni PH.

  • Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa Perunding MN.
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan