30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Annuar terkejut poster tuduh beliau pengkhianat beredar di PWTC

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa terkejut dengan penyebaran satu poster yang menuduh beliau sebagai seorang pengkhianat parti.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata, beliau menganggap dakwaan dalam poster tersebut adalah satu fitnah dan ia mendapat keizinan daripada pihak-pihak tertentu sehingga ia beredar di Perhimpunan Agung UMNO yang sedang berlangsung.

Berdasarkan poster tersebut, Annuar dituduh memberi rasuah kepada perwakilan UMNO untuk menyokong usul UMNO menjadi ‘kuda’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Pagi ini dikejutkan berita beredarnya poster seperti dalam gambar. Entah kerja siapa, naratif rekaan siapa. Pasti ini sesuatu yang diizinkan.

“Usul menjadikan UMNO tunggangan PPBM? Siapa nak bawa usul? Bawah agenda mana? Perwakilan mana yang disuruh menyokong? Insaflah kita…
Budaya memfitnah ini nampaknya sudah jadi perkara biasa,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Annuar yang sebelum ini lantang ‘menyerang’ pucuk pimpinan UMNO kerana menolak kerjasama dengan PPBM dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) turut menghadiri perhimpunan kali ini yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Poster yang menuduh Annuar Musa sebagai pengkhianat UMNO yang didakwa beredar di PWTC hari ini. – Sumber: FB Annuar Musa

Bagaimanapun, tempat beliau tidak lagi di bahagian atas pentas seperti sebelum ini, sebaliknya berada di bawah bersama para perwakilan lain.

Annuar yang mengaku sudah menghadiri Perhimpunan Agung UMNO sebanyak 40 kali berharap parti itu terus mengungguli perjuangan penyatuan dan membela bangsa, menegakkan Islam dan memakmurkan negara.

Beliau turut berkongsi gambarnya bersama beberapa perwakilan menerusi media sosial tersebut, namun tidak kelihatan wajahnya bersama para pemimpin tertinggi parti.

Annuar yang sering dituduh sebagai ‘jurucakap PPBM’ dalam UMNO kerana terus menerus mendesak parti itu bersama-sama PPBM dalam Perikatan Nasional (PN) atas alasan demi memperkukuhkan perpaduan ummah.

Semalam, beliau mengkritik ucapan perwakilan yang dinilai tidak lagi bercakap mengenai agenda Melayu dan Islam sebaliknya lebih ghairah menyerang sesama parti Melayu.

“Saya menghadiri PAU (Perhimpunan Agung UMNO) sejak 1981. Ini tahun ke-40 menjadi perwakilan. Dukacita melihat semakin kurang di bicarakan agenda Melayu dan Islam.

“Semakin ghairah ucapan menyerang sesama parti Melayu,dan semakin banyak di selit dengan sindiran-sindiran sesama UMNO. Mungkin inilah normal baru kita,” katanya sinis.

Zahid dalam ucapan dasar Presiden menggelar pihak-pihak tertentu dalam UMNO yang cuba mengubah keputusan Majlis Tertinggi berhubung kerjasama dengan PPBM sebagai ‘apit lempang’.

Tegas beliau, UMNO tidak akan tunduk dengan pendirian beliau dan tidak juga tunduk terhadap ‘apit lempang’ ‘cencang kalang’ untuk mengubah keputusan yang dibuat parti.

“Apit lempang dan kuncu-kuncunya ini sehingga semalam masih merayau-rayau menjadi makhluk perosak kepada parti.

“Eh apit lempang cukuplah… Kalau rasa nk jadi pemimpin, taat kepada peraturan dan keputusan parti, betul?,” katanya yang kemudian disambut sorakan perwakilan dalam Dewan Merdeka, PWTC. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan