32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Industri kayu-kayan lubuk rezeki graduan kejuruteraan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

PUTRAJAYA – Peluang graduan lulusan kejuruteraan dari universiti tempatan untuk bekerja dalam industri kayu-kayan di negara ini terbuka luas menerusi Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah Dalam Industri Kayu-Kayan 2021 anjuran Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, program tersebut bertujuan membantu industri kayu-kayan memperoleh khidmat jurutera daripada graduan universiti tempatan selain memberi pendedahan awal kepada pelajar universiti mengenai peluang kerjaya dalam sektor kayu-kayan.

Menurut beliau, industri perkayuan merupakan subsektor komoditi ketiga terbesar selepas sawit dan getah dengan prestasi eksport pada tahun 2020 adalah sebanyak RM22.1 bilion.

“Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyambut baik inisiatif MTC dalam memperkasakan modal insan melalui penglibatan profesional terlatih dalam industri kayu-kayan.

“KPPK berharap agar penglibatan pemain industri dan sokongan persatuan industri perkayuan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan hasrat kerajaan untuk memastikan sektor kayu-kayan terus dipacu demi dan menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat dan seterusnya menjana ekonomi negara,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian dalam kenyataan media yang diedarkan selepas beliau menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

kayu-kayan

Pada majlis berkenaan, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MTC, enam persatuan kayu-kayan, lapan universiti iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dimeterai dan disaksikan oleh kedua-dua menteri berkenaan.

Skop MoU meliputi kerjasama dalam inovasi dan pembangunan industri kayu-kayan melalui latihan industri selain usaha meningkatkan kebolehpasaran para siswazah.

Mohd Khairuddin menambah, sektor pembuatan berasaskan kayu dilihat perlu mentransformasi strategi perniagaan ke arah penggunaan automasi dan pendigitalan bagi mengukuhkan operasi untuk jangka masa panjang.

Beliau memberitahu, langkah itu dapat membantu mengurangkan kebergantungan khususnya kepada pekerja asing, menjana peluang pekerjaan baharu dan sekali gus kekal sebagai sektor penting yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Bagi tujuan tersebut, industri ini perlu mendapatkan khidmat jurutera terlatih yang mampu melakukan analisa secara digital bagi sebarang permasalahan operasi untuk membantu pengurusan syarikat membuat keputusan yang lebih efektif.

“KPPK menyokong usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menerapkan penggunaan aplikasi teknologi secara intensif kepada mahasiswa dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 sebagai bertepatan dan harus disokong oleh pihak industri,” jelasnya. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan