29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

TH agih untung lebih baik untuk tahun 2020

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan keuntungan yang lebih baik sebanyak 3.10 peratus selepas zakat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 3.05 pada tahun 2019 kepada kira-kira 9 juta pendepositnya.

Agihan keuntungan bagi tahun 2020 melibatkan jumlah sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, pihaknya bersyukur dengan prestasi kewangan TH pada tahun 2020 yang kekal positif meskipun persekitaran ekonomi negara dan dunia berada dalam keadaan tidak menentu sejak penghujung tahun 2019 akibat Pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, pendeposit TH dapat menikmati keuntungan yang lebih baik bagi tahun 2020 walaupun berdepan ekonomi yang kurang baik tahun lepas.

”Sebagai institusi yang memegang amanah mengurus hampir RM77 bilion deposit umat Islam Malaysia, TH akan terus memastikan dana ini dilaburkan dengan selamat agar kekal mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga memaklumkan, jumlah deposit di TH telah mencecah RM76.7 bilion pada 26 Februari lalu iaitu paras tertinggi dalam sejarah, sekaligus mencerminkan keyakinan pendeposit terhadap TH terus kekal utuh.

Pada masa yang sama, kata Dr. Zulkifli, TH turut melunaskan pembayaran zakat sebanyak RM106.2 juta bagi tahun 2020 berbanding RM86 juta pada tahun 2019.

“Oleh itu para pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima oleh mereka. Pembayaran zakat ini akan memberi manfaat kepada golongan asnaf yang memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan, urusniaga TH akan ditangguhkan sementara waktu bermula pukul 8 malam ini hingga 12 tengah hari bagi melancarkan urusan agihan keuntungan.

“Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing selepas pukul 12 tengah hari pada hari Rabu (esok) menerusi aplikasi THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB.

Mengenai ibadah haji, Dr. Zulkifli berkata, sehingga kini Kerajaan Arab Saudi masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi tentang musim haji tahun 2021 walaupun telah menerima kira-kira 100,000 jemaah umrah semenjak 1 November 2020.

“Tahun lepas, ibadat haji telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia. Marilah kita terus berdoa agar wabak ini pulih sepenuhnya dan kita dapat menjadi tetamu Allah di tanah suci semula. Walaupun masih belum mendapat pengesahan tentang ibadat haji tahun ini, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan.

“Oleh itu saya menasihati semua bakal haji untuk mengikuti kursus asas haji mingguan yang sedang dianjurkan oleh TH secara dalam talian. Bakal-bakal haji juga perlu menjaga kesihatan diri dengan menjaga pemakanan dan lakukan senaman kerana ibadat haji menuntut kekuatan fizikal dan mental,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan