24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Siasatan lelaki dituduh cuba bersetubuh luar tabii diteruskan

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Iki Putra Mubarak tetap tidak terlepas daripada siasatan pihak berkuasa berhubung tuduhan cuba melakukan persetubuhan di luar tabii.

Siasatan tetap dijalankan walaupun Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pihaknya dan pihak berkuasa agama Islam di Selangor akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan untuk kesalahan yang dilakukan oleh Iki Putra diteruskan oleh PDRM mengikut tatacara yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah.

“Kesalahan ini juga diperuntukkan di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan boleh dijatuhi dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan rotan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ABDUL AZIZ MOHD YUSOF
ABDUL AZIZ MOHD YUSOF

Menurut beliau, keputusan Mahkamah Persekutuan juga sama sekali tidak menafikan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk membuat undang-undang berhubung dengan kesalahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Namun, Abdul Aziz menambah, ia hendaklah selaras dengan peruntukan Jadual Kesembilan, Butiran 1, Senarai II (Senarai Negeri), Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memberitahu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya telah menyatakan bahawa DUN Selangor masih boleh terus menggubal undang-undang kesalahan syariah yang meliputi perkara-perkara berikut:

(i) Kesalahan melibatkan akidah;
(ii) Kesalahan melibatkan kesucian agama Islam;
(iii) Kesalahan berkaitan moral.

“Justeru, MAIS akan terus mendokong prinsip-prinsip kesalahan syariah seperti yang sedia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1955) (EJSS) demi memastikan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan negeri terus terpelihara di Malaysia dan Selangor khasnya,” jelasnya.

Abdul Aziz berkata, MAIS menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung dengan petisyen di bawah Artikel 4(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan yang difailkan oleh Iki Putra, seorang lelaki beragama Islam yang telah dituduh dengan kesalahan cubaan melakukan persetubuhan di luar tabii di bawah Seksyen 28 yang dibaca bersama dengan Seksyen 52 EJSS.

Beliau menjelaskan, isu yang dibawa ke hadapan Mahkamah Persekutuan adalah berhubung dengan interpretasi, kesahan dan kesan penggubalan Seksyen 28 EJSS menurut Perlembagaan Persekutuan.

Advertisements

“Mahkamah Persekutuan setelah mendengar hujahan daripada semua pihak telah memutuskan bahawa walaupun perlakuan persetubuhan luar tabii adalah merupakan satu kesalahan yang melanggari perintah agama Islam.

“Namun kuasa DUN untuk membuat undang-undang mengenainya adalah dihadkan oleh klausa pengecualian di dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pengecualian terhadap perkara-perkara yang termasuk di dalam senarai Persekutuan.

“Oleh yang demikian DUN tidak mempunyai bidang kuasa dan tidak kompeten untuk menggubal peruntukan Seksyen 28 EJSS dan Seksyen 28 berkenaan telah diputuskan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan,” ujarnya.

Abdul Aziz berkata, walaupun MAIS akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut, pihaknya menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan itu tidak sama sekali boleh dilihat sebagai suatu bentuk pengiktirafan terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sama ada oleh mahkamah mahupun MAIS.

Beliau menegaskan, ini kerana perbuatan persetubuhan sejenis atau di luar tabii adalah tetap merupakan suatu kesalahan yang amat serius di sisi agama Islam yang bercanggah dengan ajaran Islam, akhlak, moral dan norma kehidupan masyarakat di Malaysia sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Syu’ara ayat 165 dan 166 yang bermaksud:

“Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Luth, (Baginda SAW mengulanginya sebanyak tiga kali)”.
(Riwayat Ahmad, no. 2913)

Abdul Aziz memberitahu, Allah SWT melaknat sesiapa yang melakukan amalan kaum Nabi Luth (liwat) termasuk dalam dosa besar dan termasuk dalam perkara-perkara yang wajib dibendung bagi menjamin kelestarian kesejahteraan masyarakat di Selangor.

“Undang-undang dan peraturan yang dibina di negeri ini bertepatan dengan ajaran Islam melalui nas-nas al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah SAW,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan