32.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PGSM bimbang implikasi keputusan kes lelaki Islam meliwat

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyuarakan kebimbangan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, keputusan kes Iki Putra bin Mubarak lwn. Kerajaan Negeri Selangor itu memberi implikasi yang cukup besar terhadap perundangan syariah di negara ini.

Kenyataan penuh beliau adalah seperti berikut:

Berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra Bin Mubarak lwn. Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis 25 Februari 2021, yang memutuskan bahawa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan kesalahan dan hukuman terhadap persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii adalah bertentangan Perlembagaan (unconstitutional).

PGSM
MUSA AWANG

Maka Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini mengeluarkan kenyataan sebagaimana berikut:

Keputusan tersebut memberikan implikasi yang cukup besar kepada perundangan Syariah di negara ini, khususnya dalam perkara berhubungan dengan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dalam Enakmen Kesalahan/Jenayah Syariah Negeri-negeri. Ia bermaksud bahawa Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah Syariah sekiranya telah wujud peruntukan yang hampir sama dalam undang-undang Persekutuan yang digubal oleh Parlimen, walaupun kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap “perintah agama” dalam Butiran 1 Jadual Kedua – Senarai Negeri (Perlembagaan Persekutuan).

Seksyen 28 (Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii) dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan sebagaimana berikut:

“Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Manakala Butiran 1, Jadual Kedua – Senarai Negeri (Perlembagaan Persekutuan) memperuntukkan:

Advertisements

Senarai Negeri
“Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan dengan pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkhawinan, perceraian, mas kahwin,nafkah, pengangkatan, kesahtarafan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan pemerbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan;…”

Manakala seksyen 377A hingga 377C adalah seperti berikut:

Seksyen 377A. Persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikata melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Seksyen 377B. Seksaan kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.
Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Seksyen 377C. Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dsb.
Barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii ke atas seorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari 5 tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Keputusan tersebut akan membuka ruang kepada mana-mana pihak lain untuk mencabar peruntukan-peruntukan lain yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri.

Keputusan tersebut menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang Persekutuan, maka sukar untuk negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap “perintah agama” itu.

Keputusan tersebut juga sebagai gambaran awal “menutup pintu” kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini. Ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan.

PGSM menggesa Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkuasa lain mengambil tindakan secara drastik dan holistik untuk melihat dan mengkaji semula semua peruntukan undang-undang jenayah Syariah yang sedia ada, bagi memastikan undang-undang jenayah syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa untuk diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak tertentu. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan