26 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Kritik UMNO: ‘Helo bro, dari mana dapat idea cakap macam tu?’

Mesti Baca

Muhammad Muzamil
Muhammad Muzamil
Wartawan Edisi 9

KETIKA usaha sedang dilakukan bagi memperbaiki hubungan antara UMNO dan Bersatu yang kini bagaikan ‘telur di hujung tanduk’, masih ada lagi pemimpin Bersatu yang baru setahun jagung atau bak kata orang ‘cap jari tak kering lagi’ dalam dunia politik cuba nak ‘tunjuk pandai’ .

Selepas Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang dianggap oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan seolah-olah “ada assignment untuk menyerang UMNO”, terbaru Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula ‘cari fasal’.

Ketua Armada itu mengingatkan UMNO supaya akur bahawa parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.

Walaupun beliau menafikan berkata demikian namun kenyataan beliau kedegilan UMNO untuk tidak bekerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) hanya akan mengakibatkan parti itu termasuk Bersatu dan Pas kalah dianggap memperkecilkan UMNO.

Sebelum ini pun ada pemimpin Bersatu membuat kenyataan yang menyinggung perasaan UMNO.

Penulis nak tanya kepada mereka, ”Helo bro…dari manalah dapat idea untuk bercakap macam tu” pasal UMNO atau nak campur soal UMNO.

Dalam politik ini bukan boleh main cakap sahaja, apa tah lagi kalau nak buat kenyataan kepada media, kena fikir-fikir dulu, bukan setakat nak seronok ‘statement’ kita disiarkan media, fikirlah kesannya… jangan main sedap mulut sahaja.

‘Khatam dulu’ sejarah UMNO, tengok balik apa yang berlaku dalam PRU-14 dan belek-belek pula sukatan ‘alat pernafasan politik’ Bersatu, agak-agak berapa lama lagi boleh bertahan, kalau masalah dengan UMNO tidak selesaikan.

Cuba duduk depan komputer, buka internet cari berapa jumlah kerusi yang Bersatu ada sekarang – yang ‘betul-betul’ menang masa pilihan raya bukan campur dengan MP UMNO yang melompat?

Penulis tak nak cakap jumlahnya sebab ‘sedih’, tetapi faktanya ketika pemimpin Bersatu dok kata ikut bahasa orang putih ‘UMNO is over’ – sebenarnya Bersatu yang ‘can be over at anytime’ .

Segelintir pemimpin Bersatu yang suka komen ni kena faham, memang betul UMNO kalah dalam PRU-14 dan sekarang UMNO bukan kuasa besar dalam politik negara, tetapi UMNO jauh lebih banyak kerusi daripada Bersatu, lebih berpengaruh daripada Bersatu dan lebih berwibawa daripada Bersatu.

Daripada dok ‘merepek’ pasal UMNO lebih baik tumpu kepada usaha memperkuatkan Bersatu, tumpukan pertahan Bapak Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang diserang kiri dan kanan oleh kawan dan lawan.

Tidak dengar pun suara lantang Armada atau pemimpin Bersatu mempertahankan Muhyiddin, contoh mudah kalau rasa hebat sangat, berani tak bidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kelmarin membuat kenyataan beliau yakin pendekatan kerajaan dalam menangani Covid-18 tidak mengikut petunjuk sains?

Mana suara mereka apabila bekas kawan-kawan seperjuangan dalam PH dulu sejak semalam menggunakan pelbagai istilah terhadap Muhyiddin termasuk pengkhianat?

Kenapa tidak bersuara? Kenapa hanya diam? Kenapa pula hanya berani ‘serang’ UMNO? Kalau setakat nak bercakap soal UMNO kuat atau tak kuat, tak payahlah.

Kalau rasa kuat sangat, bukan kata Armada, sebagai sayap paling hebat dalam Bersatu dan pemimpin yang seolah-olah ‘ada assignment serang UMNO’, buatlah satu ketetapan untuk memutuskan supaya Bersatu tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dalam PRU-15 nanti, ada berani?

Yang peliknya kata UMNO macam-macam tetapi pada masa sama dok kata Bersatu mengharapkan UMNO bersama PN. Bila masa pula UMNO jadi anggota PN. UMNO dah cakap sejak awal lagi, parti itu hanya bekerjasama menyokong penubuhan kerajaan, soal bertanding dalam PRU-15 itu soal lain.

Macam mana mereka tahu kalau bertanding tiga penjuru, Bersatu, Pas dan UMNO akan kalah. Sudah buat kajian ke? Atau sekadar baca orang dok merepek dalam FB?

Kalau nak tahu macam mana orang Melayu berpolitik dan sejauh mana UMNO kuat atau tidak, pi bertanding kat satu kawasan Parlimen di Utara bukan salah satu kawasan Parlimen di Lembah Klang?

Apapun penulis nak nasihat kelompok dalam Bersatu yang suka sangat bercakap pasal UMNO ni pi lah belajar dulu sejarah parti politik Melayu, kalau dah betul-betul faham, barulah bermimpi nak bertanding jadi calon dalam PRU.

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan