32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Legenda OPEC, Ahmed Zaki Yamani meninggal dunia

Mesti Baca

RIYADH – Bekas Menteri Minyak Arab Saudi, Ahmed Zaki Yamani meninggal dunia pada usia 90 tahun akibat masalah jantung di sebuah hospital di London pada Isnin lalu.

Memetik laporan The New York Times, perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Mai Yamani.

Allahyarham yang memiliki kelulusan dalam bidang undang-undang dari Universiti Harvard terkenal kerana peranannya dalam sekatan minyak pada 1973 yang menyebabkan harga minyak di Barat naik mendadak.

Langkah itu juga mencetuskan permintaan global terhadap kereta yang lebih kecil, sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan tindakan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dari rantau Arab.

Beliau merupakan jurucakap bagi negara-negara pengeluar minyak Asia Barat di pentas dunia ketika industri tersebut mengharungi perang Arab-Israel, revolusi di Iran dan krisis-krisis lain.

Peningkatan permintaan dunia terhadap minyak menjadikan Arab Saudi dan negara-negara Teluk Parsi yang lain kaya-raya.

Ahmed Zaki yang berkhidmat sebagai Menteri Minyak Arab Saudi dari 1962 hingga 1986 secara umumnya berusaha untuk memastikan harga minyak yang stabil dan pasaran yang teratur.

Ahmed Zaki
Ahmed Zaki Yamani bersama bekas Setiausaha Negara AS, Henry Kissinger di Paris pada Disember 1975. Gambar: AP

Allahyarham merupakan orang biasa yang paling berkuasa dalam sebuah kerajaan yang mengawal sebahagian daripada simpanan minyak terbesar di dunia.

Selama 25 tahun, beliau merupakan pemimpin yang dominan dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC) yang mengawal kuota pengeluaran komoditi berharga itu di seluruh dunia.

Pada 1972, Ahmed Zaki memulakan gerakan untuk mengambil alih kawalan terhadap simpanan minyak yang besar daripada Aramco iaitu konsortium empat syarikat minyak Amerika Syarikat (AS) yang telah mengeksploitasi hasil bumi tersebut sejak sekian lama.

Ketika pemimpin-pemimpin Arab menggesa Aramco dimiliknegarakan, beliau mengambil pendekatan yang lebih sederhana.

Di bawah perjanjian ‘penyertaan’ yang dirundingkan beliau, Arab Saudi berjaya mendapatkan hak untuk membeli 25 peratus konsesi asing dan menambah kepentingan mereka sedikit demi sedikit.

Aramco pula dibenarkan meneruskan konsesinya dan mengaut keuntungan daripada proses mencari gali, menapis dan memasarkan minyak.

Syarikat itu juga perlu membayar yuran yang lebih tinggi kepada kerajaan Arab Saudi.

Perjanjian itu memastikan minyak terus mengalir ke negara-negara maju dan memberi masa kepada negara-negara pengeluar minyak di Asia Barat membina kepakaran teknikal dan pemasaran mereka.

Perkembangan tersebut membawa kemakmuran berlipat ganda di negara-negara Teluk dan mencetuskan anjakan ekonomi dan politik yang besar di rantau berkenaan.

Pada 1973, selepas rejim Zionis Israel menewaskan Mesir dan Syria dalam Perang Yom Kipper dan pemimpin-pemimpin Arab menggesa minyak dijadikan senjata politik, Ahmed Zaki mewujudkan embargo untuk menekan AS dan sekutu-sekutunya untuk menarik balik sokongan terhadap Israel.

Langkah itu juga bertujuan mendesak Israel berundur dari wilayah-wilayah Arab yang diduduki.

Embargo itu mencetuskan kejutan yang besar di seluruh dunia, menyebabkan perpecahan dalam pakatan Atlantik Utara dan menarik sokongan Jepun serta negara-negara lain terhadap negara-negara Arab.

Namun, Amerika Syarikat enggan mengalah dan Presiden Richard M. Nixon melaksanakan catuan minyak dan kawalan harga sebagai langkah mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dari Timur Tengah.

Ahmed Zaki juga merupakan salah seorang daripada menteri-menteri OPEC yang diculik pada 21 Disember 1973 oleh sekumpulan pengganas yang diketuai oleh Ilich Ramírez Sánchez yang terkenal dengan gelaran Carlos the Jackal.

Beliau digugurkan dari jawatan menteri oleh Raja Arab Saudi, Raja Fahd pada 1986.

Beliau mula berkhidmat sebagai penasihat kepada Putera Mahkota Faisal pada 1958 dan selepas bersara, Allahyarham bekerja sebagai perunding, usahawan pelabur serta menetap di Crans-sur-Sierre, Switzerland.

Pada 1982, beliau menyertai firma ekuiti swasta berpangkalan di Bahrain, Investcorp dan lapan tahun kemudian, Ahmed Zaki mengasaskan kumpulan analisis yang beroperasi di London, Pusat Penyelidikan Tenaga Global.

Allahyarham yang dilahirkan di Mekah pada 30 Jun 1930 merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Bapanya, Hassan Yamani merupakan ketua hakim di Mekah manakala ibunya, Fatima Suruji ialah seorang suri rumah.

Semasa kecilnya, Ahmed Zaki merupakan seorang yang warak.

Beliau melanjutkan pelajaran di luar negara dan menerima ijazah dari Universiti Raja Fuad 1 di Kaherah pada 1951, New York University pada 1955 dan Sekolah Undang-undang Harvard pada 1956.

Ahmed Zaki mendirikan rumah tangga dengan Laila Sulaiman Faidhi pada 1955 dan mereka mempunyai dua anak perempuan, Mai dan Maha serta seorang anak lelaki, Hani.

Pada 1975, Allahyarham berkahwin dengan Tamam al-Anbar dan mempunyai dua anak perempuan, Sarah dan Arwa serta tiga anak lelaki, Faisal, Sharaf dan Ahmed.

Selain isteri keduanya yang masih hidup dan anak-anaknya, beliau meninggalkan 24 cucu dan seorang cicit.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan