30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Hanya 1.9 juta rakyat Malaysia daftar suntik vaksin

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Setakat ini, hanya 1,909,585 rakyat Malaysia yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa pertama sejak ia bermula pada 26 Februari lalu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu masih kecil jika dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia yang keseluruhannya menghampiri jumlah 33 juta.

“Pengambilan vaksin ini penting kerana tidak mustahil seluruh negara akan menjadikan pengambilan vaksin ini sebagai salah satu syarat wajib bagi mengunjungi negara mereka.

“Difahamkan, kerajaan Arab Saudi juga dijangka akan mengenakan syarat vaksin ke atas bakal jemaah haji dan umrah tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendaftar program imunisasi itu melalui aplikasi MySejahtera.

Ismail Sabri menambah, selain MySejahtera, pendaftaran juga boleh dibuat menerusi lawan sesawang www.vaksincovid.gov.my atau terus ke hospital dan klinik kesihatan awam berdekatan yang akan mula dibuka esok, 5 Mac 2021 atau melalui talian hotlineyang bakal diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dalam masa terdekat.

Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rumah Sewa Anong dan Rumah Sewa Beverly Hills di Bintulu, Sarawak mulai esok hingga 18 Mac ini.

Ismail Sabri memberitahu, sehingga 3 Mac 2021, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 1,247 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 84 kes positif telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” jelasnya.

Selain itu, menurut beliau, PKPD turut dikuatkuasakan di Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka mulai 6 hingga 19 Mac ini.

Sehingga 3 Mac 2021, sebanyak 152 kes positif telah direkodkan yang melibatkan lima kakitangan, lapan ahli keluarga dan 139 tahanan,” ujarnya.

Berhubung tindakan penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 499 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 492 telah dikompaun manakala empat individu direman dan tiga dijamin.

“Antara kesalahan ingkar SOP termasuk aktiviti pusat hiburan (134), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri/pelanggan (86), tidak memakai pelitup muka (62), tiada penjarakan fizikal (58), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (28), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (27) dan lain-lain (104),” ujarnya.

Selain itu, pasukan keselamatan berjaya menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

Dalam operasi itu juga, 139 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan. – EDISI 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan