26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

RM285,499 lesap akibat scam jual vaksin COVID-19

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima dua laporan berkaitan penipuan vaksin COVID-19 yang melibatkan kerugian dengan jumlah keseluruhan RM285,499.95.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, siasatan kes sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai adalah diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh.

“Sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan maklumat yang tepat diperolehi berkaitan program vaksinasi ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

vaksin COVID-19
ZAINUDDIN YAACOB

Menurut beliau, JSJK juga telah mengesan penularan maklumat mengenai jualan vaksin COVID-19 dalam talian melalui media sosial.

Zainuddin menambah, kegiatan itu dilakukan walaupun pihak pengendali perkhidmatan jualan yang berkenaan telah mengeluarkan kenyataan bagi menafikan terdapat iklan tersebut.

“Namun, jabatan ini tidak menolak kemungkinan wujudnya iklan-iklan palsu berkenaan penjualan vaksin COVID-19 pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sebagaimana yang telah diumumkan oleh kerajaan, pemberian vaksin COVID-19 akan dilaksanakan secara percuma kepada rakyat Malaysia.

Zainuddin berkata, sebarang tawaran jualan vaksin tersebut oleh mana-mana pihak adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan berkemungkinan satu penipuan.

“JSJK sentiasa komited untuk melaksanakan pemantauan secara berterusan bagi mengesan dan membanteras mana-mana pihak yang cuba mengiklankan penjualan vaksin ini secara dalam talian,” ujarnya.

Untuk makluman, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa yang dimulakan dengan kumpulan barisan hadapan dan akan diikuti dengan kumpulan berisiko tinggi serta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus COVID-19.

Vaksin Comirnaty® keluaran Pfizer-BioNTech, adalah sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam ULTF dengan suhu -90°C sehingga -60°C bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.

Jangka hayat vaksin dalam penyejuk beku itu adalah enam bulan daripada tarikh pengilangan.

Bagi tujuan pembekalan ke PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk dengan suhu simpanan 2°C hingga 8°C dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas, dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.

Vaksin Comirnaty® yang disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C mempunyai jangka hayat sehingga lima hari atau bersamaan dengan 120 jam. – EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan