28.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Status hubungan UMNO-PPBM masih jadi tanda tanya

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Masa depan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan UMNO dalam kerangka kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi menjadi tanda tanya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin malam ini selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu tidak menyebut tentang isu berkenaan.

Banyak pihak termasuk ahli-ahli akar umbi kedua-dua parti serta pemerhati politik ingin tahu apakah tindakan yang akan diambil oleh PPBM setelah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutus surat bertarikh 26 Februari 2021 kepada Presiden PPBM merangkap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

UMNO PPBM
HAMZAH ZAINUDIN

Dalam surat yang kontroversi itu, Ahmad Zahid menegaskan pendirian UMNO menolak kerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) serta kebersamaan partinya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Antara desas-desus yang timbul ekoran isu tersebut adalah penyingkiran menteri-menteri Kabinet yang mewakili UMNO dalam kerajaan PN.

Namun, setakat malam ini, perkara itu tidak berlaku dan tidak diketahui sama ada ia dibincangkan dalam mesyuarat MPT PPBM yang bermula petang tadi.

Berhubung surat tersebut, Hamzah cuma menyebut, PPBM memandang serius terhadap kandungan surat tersebut kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kerjasama pada masa hadapan antara UMNO, PPBM dan PN.

Advertisements

“Dalam hal ini, PPBM memutuskan untuk terus fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam parti PN iaitu PAS, STAR, SAPP dan GERAKAN berlandaskan perjuangan yang jujur dan ikhlas kepada rakyat bagi memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menambah, PPBM berpendirian bahawa kerajaan PN pimpinan Muhyiddin masih utuh dan berfungsi untuk memberi khidmat kepada rakyat.

Hamzah menambah, dalam mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin itu, PPBM menzahirkan kesyukuran atas kejayaan kerajaan PN menempuhi tempoh satu tahun mentadbir negara.

“Dalam tempoh pentadbiran satu tahun itu, kerajaan PN telah berjaya menjulang prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, telus serta berintegriti terutamanya dalam memelihara kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan undang-undang.

“Dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi yang mencabar, kestabilan politik adalah amat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan dengan berkesan.

“Justeru, PPBM mengucapkan terima kasih kepada semua parti politik yang setia dan istiqamah dalam mendokong serta mempertahankan aspirasi kerajaan PN,” jelasnya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Piala Asia B23: Pemain muda balik tangan kosong dari Qatar

DUA minggu berkampung di Doha, Qatar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sehingga korbankan hari raya Aidilfitri bersama keluarga ...

Lagi Artikel Berkaitan