28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

BN bertegas mahu Parlimen kembali bersidang

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, kenyataan mana-mana pihak bahawa Parlimen tidak boleh bersidang dalam tempoh Darurat seolah-olah mencabar titah Yang di-Pertuan Agong dan menghina institusi raja berperlembagaan.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan beliau malam ini

BN menjunjung kasih titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari 2021 di mana Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan pandangan bahawa Dewan Rakyat boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Duli Tuanku atas nasihat YAB Perdana Menteri.

BN menyambut baik titah Duli Tuanku yang bertujuan menegakkan amalan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan.

BN sentiasa berpegang bahawa, nasihat YAB Perdana Menteri kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi membendung gejala wabak COVID-19 melalui Pengisytiharan Darurat serta Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 perlu memastikan hak suara rakyat di Parlimen tidak diabaikan.

BN
AHMAD ZAHID HAMIDI

Barisan Nasional menanggapi kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semalam bahawa Jemaah Menteri menasihatkan KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong supaya menidakkan Sidang Parlimen semasa tempoh Darurat berkuat kuasa, adalah seolah mencabar pandangan dan titah Duli Tuanku dan menghina institusi Raja Berperlembagaan.

Bersesuaian dengan sumpah menjunjung Perlembagaan yang telah dilafazkan, Barisan Nasional berpegang teguh Ahli Dewan Rakyatnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh kesetiaan di samping memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan. Dalam perkara ini, Barisan Nasional memohon ampun kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekiranya kenyataan Menteri tersebut menyinggung hati Duli Tuanku.

Barisan Nasional mengesyorkan Ahli-ahli Dewan Rakyatnya menyeru YAB Perdana Menteri serta Jemaah Menteri untuk menghormati titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya Sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera, apatah lagi setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dilonggarkan. Prinsip Keluhuran Perlembagaan perlu ditegakkan bagi membolehkan Parlimen memainkan peranan yang wajar dalam memastikan semak dan imbang.

Meskipun begitu, Barisan Nasional dengan rendah diri merayu kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku Agong, sekiranya diperkenankan, untuk menitahkan Sidang Parlimen diadakan dengan kadar segera dengan menggunakan kuasa wewenang Duli Tuanku di bawah Seksyen 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dibaca bersama Perkara 40 (2) Perlembagaan Persekutuan. Di mana, Sidang Parlimen dapat membentangkan perkara-perkara berikut:

Advertisements

(a) Pengisytiharan Darurat serta Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 bagi memastikan prinsip hak asasi manusia, kebebasan masyarakat madani, ketulusan dan kedaulatan undang-undang dapat dipelihara;

(b) Keberkesanan langkah-langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat;

(c) Keberkesanan pelaksanaan Belanjawan 2021 demi memastikan kelangsungan hidup rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40 dan M40);

(d) Keberkesanan ikhtiar pemulihan ekonomi negara semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP);

(e) Keperluan kestabilan politik demi pemulihan dan pemacuan ekonomi melalui tarikan pelaburan dalam dan luar negara;

(f) Keperluan perpaduan di antara bangsa Melayu dan umat Islam bersama-sama pelbagai keturunan dalam mengemudi bahtera negara agar kembali stabil.

Sehubungan ini, sekiranya diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya sedia menjunjung titah Duli Tuanku untuk mengadap Duli Tuanku bagi menyampaikan pandangan bagi pertumbuhan sosioekonomi negara, terutamanya rakyat miskin.

Sementelahan saya juga turut menzahirkan penghargaan kepada pihak kerajaan dalam merealisasikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan kepada para wira-wirawati petugas barisan hadapan dalam pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira masa dan penat dalam memerangi wabak COVID-19. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Sekat penceramah asing pro-Zionis demi keselamatan negara – Zambry

SEKATAN terhadap penceramah asing pro-Zionis perlu dilihat dari aspek keselamatan dan imej negara yang boleh terjejas akibat kenyataan mereka. Justeru,...

Lagi Artikel Berkaitan