28.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Ada industri tak terjejas, kaut untung besar semasa pandemik

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Jumlah kutipan cukai yang lebih tinggi oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tahun lalu berbanding sasaran yang ditetapkan membuktikan masih ada industri yang tidak terjejas akibat kesan pandemik COVID-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kutipan cukai pada 2020 adalah sebanyak RM123.092 bilion iaitu 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran RM121.7 bilion yang merupakan semakan ketiga oleh Kementerian Kewangan.

“Kejayaan memperolehi jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik masih terdapat industri-industri yang tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik tersebut.

“Namun begitu, kita bersyukur mereka ini telah memainkan peranan dengan baik, menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara,” katanya ketika berucap Hari Hasil Ke-25 secara maya, hari ini.

Beliau menambah, meskipun mendepani suasana ekonomi yang suram serta mencabar, LHDN sekali lagi telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma-norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.

Pada masa yang sama, Tengku Zafrul yakin masih terdapat banyak ruang-ruang yang boleh diterokai oleh LHDN bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi, mengenal pasti industri-industri dan sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar lembaga berkenaan.

“Mudah-mudahan, dengan meneroka peluang-peluang baharu, sasaran kutipan yang disasarkan oleh pihak kerajaan kepada LHDN pada tahun 2021 ini yang berjumlah RM 143.9 bilion dapat dicapai,” jelasnya.

Tengku Zafrul juga pasti, LHDN telah menyusun, mengatur dan mengenal pasti strategi-strategi percukaian bagi mencapai sasaran tersebut atau memperolehi jumlah yang lebih dari itu, lebih-lebih lagi bulan pembayar cukai melaporkan cukai akan bermula tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, adalah penting bagi LHDN meletakkan dirinya dalam kelompok perkhidmatan perlu kepada negara.

Tengku Zafrul turut menyokong sepenuhnya kedudukan LHDNM sebagai salah satu agensi yang disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu dalam menghadapi krisis kesihatan ketika ini.

“Justeru, keputusan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN dan barisan pengurusan tertinggi LHDN untuk beroperasi pada kapasiti 100 peratus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) amatlah saya alu-alukan, lebih-lebih lagi dalam usaha memastikan operasi kutipan cukai dapat dilaksanakan seperti yang dirancang,” ujarnya. – EDISI 9

Terkini

Stoking kalimah Allah: KK Mart akan dipanggil bantu siasatan

POLIS akan memanggil pihak KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan beberapa individu lain bagi membantu...

Lagi Artikel Berkaitan