33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

369 individu berdepan kompaun maksimum RM10,000

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Kompaun maksimum RM10,000 nampaknya tidak menghalang 369 individu daripada melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 330 orang dikenakan kompaun, 37 orang direman manakala dua individu lagi dijamin.

“Antara kesalahan direkodkan adalah aktiviti pusat hiburan (155), gagal menyediakan peralatan/ merekod diri/ pelanggan (77), tidak memakai pelitup muka (39), tiada penjarakan fizikal (34), rentas daerah/ negeri tanpa kebenaran (29) dan premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (20),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Notis kompaun maksimum yang ditulis adalah RM10,000 jika melanggar SOP, namun ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa iaitu Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk menetap nilai sebenar kompaun yang dikenakan.

Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 66,685 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP.

Sebanyak 3,676 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,632 anggota telah membuat pemantauan di 6,206 buah restoran, pasar raya (4,672), bank (2,613), penjaja (4,278), pasar awam/tani (141), kilang (2,316) dan pejabat kerajaan (1,023).

Turut dipantau adalah tempat ibadah (276), tempat riadah (16,745), terminal pengangkutan darat (3,432), terminal pengangkutan air (1,808) dan terminal pengangkutan udara (1,046).

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri memberitahu, pasukan keselamatan telah menangkap 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lima kenderaan darat dalam Op Benteng di seluruh negara semalam.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 86 buah bot/ kapal di perairan negara melalui tujuh aktiviti penglihatan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau mengumumkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Kuarters Kakitangan, Kinta, Perak akan berakhir esok seperti yang dijadualkan.

Ismail Sabri menambah, sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 774 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 457 kes telah dilaporkan.

“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan,” ujarnya.

Semalam, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melakukan 28 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 27 tapak binaan beroperasi dan mematuhi SOP manakala satu lagi diarahkan tutup serta-merta.

Secara keseluruhannya, CIDB telah melakukan 16,129 pemeriksaan melibatkan 9,133 tapak binaan sejak 20 April 2020.

Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Semalam, KPDNHEP telah membuat 734 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri peruncit (545), pemborong (158) dan pengilang (31).

KPDNHEP juga telah melakukan 1,854 pemeriksaan khas pematuhan SOP.

Daripada jumlah itu, 1,847 premis mematuhi SOP manakala tujuh lagi dikompaun. – EDISI 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan