25 C
Kuala Lumpur
Monday, October 18, 2021

10 pemuda seperti Aminudin mampu gegarkan dunia

Mesti Baca

Editor
Editor Edisi 9

BUNG Sukarno, bekas Presiden Indonesia pernah berkata:
“berikan padaku sepuluh belia yang berilmu, bukan sahaja Indonesia, bahkan seantero dunia bisaku gegarkan.”

Sejak di bangku sekolah, itulah kata-kata keramat yang selalu diasak di telinga kita untuk membayangkan bagaimana belia berkualiti mampu menggoncang dunia tanpa perlu jumlah ramai.

Setelah hampir satu abad kata-kata itu diungkapkan, kini penulis menyedari ada kebenarannya apabila menyaksikan kejayaan graduan-graduan yang dilatih penulis mencapai kejayaan sebagai usahawan.

Walaupun pencapaian mereka tidaklah sehebat Jack Ma, Bill Gates atau jutawan tauke Top Glove, namun jika digilap sedikit lagi pasti mereka akan sampai ke tahap itu.

Sememangnya penulis sudah melahirkan ramai usahawan terutama mereka yang bermula daripada kosong hinggalah menjadi hero pada hari ini.

Membina usahawan begini jauh lebih susah berbanding dengan konsep ‘tebuk separuh jalan’ iaitu masuk memainkan peranan setelah usahawan itu sendiri sudah berjaya.

Itulah sebabnya kadang-kadang berlaku situasi bermacam papan tanda agensi di hadapan premis seorang usahawan kerana masing-masing mahukan kredit.

Apa mahu dikongsikan ialah bagaimana kita boleh membangunkan juara atau champion dalamkalangan usahawan muda, khususnya Bumiputera yang mampu mencipta kelainan dan pencapaian luar biasa.

Dalam kalangan ramai usahawan penulis, terdapat beberapa orang usahawan dibentuk pada usia seawal 18 tahun (lepasan SPM). Mereka dilatih dalam kemahiran pertanian sejak 10 tahun lalu dan kini mencapai kejayaan yang membanggakan.

Azri Zahier (dua dari kiri), Aminudin dan Syawaludin berkongsi pentas menceritakan pengalaman dengan usahawan-usahawan di Sabah pada tahun 2011.

Sebahagian mereka diberikan pendedahan komprehensif atas hasrat penulis menyediakan generasi pelapis hebat pada masa depan.

Antara tokoh yang sempat menyertai misi tersebut ialah Mohd. Aminudin Mohd Zaibani (High Tech Aqua), Azri Zahier Azmi (Haus Boom) dan Mohd Syawaludin Ghazali (Syawal Best Farm).

Aminudin menjadi antara pembekal benih ikan termuda di Malaysia. Azri Zahier Azmi pula yang merupakan graduan Universiti Malaya berjaya mengeksport minuman beliau ke beberapa negara dunia termasuk China dan UK. Manakala Syawaludin pula mengusahakan perniagaan berasaskan ternakan seperti kambing dan lembu.

Baca juga:   Kes sporadik terus meningkat, amal tindakan kesihatan kendiri

Kejayaan Aminudin yang baru berusia 31 tahun membolehkan beliau menerima pelbagai anugerah tokoh usahawan penternakan ikan air tawar.

Baca juga:   Syed Saddiq masuk politik untuk 'bersihkan politik'?

Kemampuannya yang mendapat tunjuk ajar daripada penulis telah membolehkan penulis menerima Anugerah Maha Youth pada 2011, diikuti Aminudin pada tahun berikutnya.

Kedua-dua anugerah itu disamikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asasi Tani ketika itu, Datuk Seri Noh Omar.

Walaupun terpaksa pelbagai cabaran dalam perniagaan ternakan ikan air tawar, Aminudin terus cekal hingga mampu menambah cawangan pusat pembenihan ikan kelima iaitu di Perak baru-baru ini, selain di Selangor dan Pahang.

Dalam misi penulis untuk menjayakan gagasan MIBEK (Model dan Inisiatif Baru Ekonomi Komuniti) di Perak, kehadiran pusat pembenihan Aminudin di Changkat Tualang, Kota Bharu, Gopeng, Perak adalah amat dinanti-nantikan.

Menariknya cawangan tersebut juga bukti kehebatan usahawan muda Melayu seperti Aminudin. Ia memandangkan beliau berjaya memiliki projek dan tanah milik di kawasan itu daripada seorang ‘tauke’ yang sebelum ini mengusahakan projek tersebut dengan harga agak tinggi.

Kini, Aminudin antara sumber rujukan dan inspirasi usahawan baru yang sedang dibangunkan oleh penulis.

Azri Zahier yang agak terkesan dengan pandemik Covid-19 adalah di antara ikon hebat seperti ikon SME dan memenangi pelbagai anugerah usahawan muda.

Beliau telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan sering menjadi ikon SME muda dalam media tempatan.

Penulis menjadi tetamu khas babak akhir Pelamin Fantasia yang disiarkan oleh Astro tahun 2015 pada malam persandingan Syawaludin.

Bagi Syawaludin pula, promosi dan penjenamaan beliau dalam perniagaan berasaskan ternakan ruminan melonjak apabila beliau meraih juara rancangan realiti TV Astro pada tahun 2015 dalam rancangan Pelamin Fantasia.

Pada malam pernikahan dan persandingan beliau yang umpama sebuah kisah fairy tales, penulis telah diundang khas kerana penulis dianggap antara individu penting dalam perjalanan hidup beliau.

Kini kesemua mereka telah mencapai satu tahap yang sangat membanggakan tetapi perlu bergerak ke hadapan dengan satu lagi langkah lebih besar, di samping menjadi ikon generasi baru.

Baca juga:   'Cemolot' dengan DAP, apa lagi pilihan yang UMNO ada?

Pengajaran penting kepada usahawan, agensi berkaitan pembangunan usahawan dan masyarakat ialah kejayaan usahawan muda ini adalah satu proses yang memerlukan latihan, bimbingan dan pemantauan tersusun, konsisten tanpa jemu.

Ketika di peringkat awal proses membina karektor dan wawasan perniagaan mereka, penulis telah berusaha membina keyakinan dan membuka minda mereka dengan pelbagai aktiviti yang dapat merangsang minda dan perlunya mereka berjiwa besar sebagai usahawan.

Masih ingat gerak kerja sepuluh tahun dulu, bagaimana penulis membawa mereka ke hulu dan ke hilir dengan kos sendiri untuk memperkenalkan perniagaan dan jenama mereka ke seluruh negara termasuk Sabah.

Pernah satu masa ketika mereka dikumpulkan sepentas bersama usahawan muda Sabah (graduan penulis juga) mereka bertanya tentang tujuan menulis menyediakan iringan polis trafik dari Kota Kinabalu ke Keningau, Sabah.

Baca juga:   Khairy desak UMNO segerakan pemilihan parti sebelum PRU-15

Penulis menjelaskan selain faktor keselamatan yang melibatkan konvoi pegawai dan pemimpin kerajaan, penulis mahu mereka merasakan impian menjadi usahawan ternama dan terhormat satu hari nanti.

Akhirnya, kesemua mereka mencapai sebahagian inspirasi itu beberapa tahun kebelakangan ini.

Justeru, langkah Universiti Putra Malaysia untuk mengkaji keusahawanan mereka sangat dialu-alukan supaya mereka ini disediakan sebagai pelapis untuk mencapaim kejayaan lebih hebat pada masa depan.

Impian penulis adalah mahu melihat mereka menjadi taikun perniagaan Melayu masa depan dan menjadikan generasi baru sebagai jaringan bimbingan dan rangkaian mereka.

Diharapkan agensi kerajaan atau pihak berkaitan tidak kekok untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran penulis. Lebih-lebih lagi dalam usaha penulis untuk menjadikan Perak Sebagai Pengeluar Makanan Negara Bertaraf Dunia.

Kata-kata Sukarno sedang direalisasikan oleh anak-muda seperti Aminudin, Azri Zahier dan Syawal. Jika ada sepuluh orang seperti mereka, bergegarlah dunia keusahawanan dalam kalangan anak Melayu Malaysia.

  • Penulis adalah Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW) dan Aktivis Ekonomi Sosial. Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Muzakarah khas bincang SOP rapatkan saf solat berjemaah – Idris

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah untuk mengatur satu muzakarah khas untuk membincangkan prosedur operasi standard (SOP) bagi...

Lagi Artikel Berkaitan