25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Wanita belasah kucing sampai mati, lauk buat suami tercinta

Mesti Baca

JAKARTA – Entah apa yang merasuk seorang wanita tua di Kalideres, Jakarta Barat sehingga menyebabkan dia tergamak membelasah beberapa ekor kucing sehingga mati.

Dia merancang untuk memasak kucing itu dan akan diberikan kepada suaminya yang menderita penyakit asma.

Seperti yang dilaporkan oleh portal Tempo.co, wanita itu percaya bahawa daging kucing boleh menyembuhkan masalah pernafasan yang dihidapi suaminya.

Perbuatan kejam dia membunuh kucing dapat disaksikan dalam rakaman video yang tular melalui media sosial.

Dalam video tersebut, dapat dilihat sekurang-kurangnya bangkai empat ekor kucing di atas tanah.

Pada masa yang sama, wanita tua itu mempertahankan tindakannya ketika dikelilingi jiran-jiran yang berang.

Video tersebut turut dikongsi oleh pertubuhan kebajikan haiwan, Natha Satwa Nusantara.

Pengarah operasinya, Anisa Ratna berkata, jiran-jiran wanita terbabit menyaksikan perbuatannya memukul kucing-kucing malang itu sehingga mati.

Seperti yang disahkan oleh Ketua Unit Jenayah Balai Polis Kalideres, Anggoro Winardi, video tersebut dirakamkan di Kalideres pada Sabtu lalu.

Polis dilaporkan menahan wanita berkenaan setelah menerima laporan daripada penduduk di situ.

“Dia percaya bahawa keadaan suaminya bertambah baik selepas memakan daging kucing,” kata Anggoro.

Seekor kucing yang masih hidup di rumah wanita itu diambil oleh polis sebagai bahan bukti.

Seorang penduduk yang juga pemilik salah seekor kucing yang dibunuh, Mulyadih turut disoal siasat oleh polis.

Mulyadih memutuskan untuk tidak mendakwa wanita terbabit namun dia dikehendaki menandatangani perakuan tidak akan mengulangi lagi perbuatan kejam itu pada masa hadapan.

Pelik juga bagaimana dia mendapat idea untuk menggunakan daging kucing sebagai ubat untuk merawat penyakit asma suaminya.

Mungkin dia menerima nasihat yang salah daripada orang yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan.

Walau apa pun alasannya, perbuatan kejam membelasah kucing sehingga mati adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

Tidak pasti pula sama ada tindakan itu dilakukan untuk kali pertama atau pernah berlaku sebelum ditangkap oleh jiran-jirannya.

Diharap dia mengotakan janjinya tidak akan melakukan kekejaman terhadap kucing. – EDISI 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan