26 C
Kuala Lumpur
Friday, May 10, 2024

Setahun PM: Perangi pandemik, pertahan integriti

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI

PADA 1 Mac ini genap setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui negara.

Tampuk pemerintahan negara bertukar selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh setelah sempat 22 bulan memerintah.

Sejurus selepas terbentuk kerajaan PN, Perdana Menteri berhadapan dengan krisis kesihatan awam apabila satu dunia diserang dan diancam dengan pandemik Covid-19.

Malaysia tidak terkecuali bergelut dengan pandemik tersebut yang sehingga kini masih belum berkesudahan.

Mengambil alih kerajaan dalam situasi negara berhadapan dengan dua krisis besar iaitu krisis politik dan kesihatan awam bukan satu perkara mudah.

Pandemik Covid-19 datang bertalu-talu sehingga memberi kesan besar kepada kehidupan seharian rakyat, kesihatan dan sektor ekonomi.

Ketika gelombang pertama mula reda dan rakyat sudah menjalani kehidupan seperti biasa dan aktiviti ekonomi mula dibuka sepenuhnya, gelombang kedua pula menyerang dengan lebih dahsyat.

Akibatnya kerajaan terpaksa membuat proklamasi darurat pada 12 Januari lalu bagi mengekang penularan pandemik tersebut sekali gus menyelamatkan kehidupan harian rakyat serta ekonomi negara.

Pandemik mungkin memberi kesan dan menjejaskan banyak aspek kehidupan tetapi tidak dalam pentadbiran negara kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Walaupun berhadapan dengan begitu banyak cabaran dalam era pendemik ini, pertadbiran negara tidak terjejas langsung dan berjalan seperti biasa.

Sebagai contoh, komitmen kerajaan PN dalam memerangi rasuah, mempertahankan integriti dan meningkatkan tadbir urus kerajaan mengikut prinsip keluhuran undang-undang sangat jelas dan berterusan.

Muhyiddin bukan sekali menegaskan kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah malah tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang akan dikenakan ke atas mereka.

Advertisements

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) terus berjalan bagi meningkat tadbir urus kerajaan selain mengurang dan menutup peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Pada masa yang sama, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga meneruskan aktiviti tangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang disyaki melakukan perbuatan rasuah termasuk dalam kalangan penjawat awam.

Malah kerajaan PN memberi jaminan akan mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah sepanjang tempoh pelaksanaan darurat.

Ini terbukti apabila banyak kes berprofil tinggi sama ada berkaitan dengan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad serta beberapa pemimpin UMNO lain masih berjalan seperti biasa.

Barangkali disebabkan pendirian sebeginilah, Muhyiddin diserang cukup-cukup oleh segelintir kumpulan manusia daripada ‘kluster mahkamah’ dan pembangkang yang mengharapkan beliau campur tangan dalam beberapa kes mahkamah yang sedang berjalan.

Keadaan ini sangat berbeza ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan setelah menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Salah satu kes profil tinggi yang menjadi tumpuan negara ialah kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiauaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan.

Alasannya pihak pendakwaraya menemui ‘bukti baharu’ sewaktu pemeriksaan balas. Bagaimanapun tidak ada butiran terperinci apa yang dimaksudkan dengan ‘bukti baharu’ itu.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa kes yang melibatkan ahli-ahli politik PH sama ada kes hasutan, perhimpunan haram, penglibatan dalam kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Elam (LTTE) turut digugurkan.

Sebelum membentuk kerajaan, PH begitu lantang bercakap dan memperjuangkan kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Malah inilah modal politik yang dijual dan dijaja PH sepanjang kempen dalam pilihan raya umum lalu.

Walaupun sebelum ini ada pandangan sinis yang mengatakan kerajaan PN tidak ada bezanya dengan PH atau Barisan Nasional (BN) dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi, tanggapan itu meleset. Apa yang dibayangkan, tidak berlaku.

Semua kes berjalan seperti biasa tanpa gangguan atau campur tangan kerajaan. Tidak ada kes digugurkan atau ditutup dan mereka yang terbukti bersalah dihukum dan menjalani hukuman.

Tidak ada kerajaan yang sempurna di dunia ini sementelah lagi baru berusia setahun jagung seperti kerajaan PN.

Bagaimanapun pendirian, ketegasan, tidak bertolak ansur mahu pun berkompromi dalam hal-hal berkaitan integriti harus dipuji.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Dua helikopter TLDM terhempas dalam keadaan ‘airworthy’

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Lumut ketika raptai lintas hormat sempena Hari TLDM Ke-90...

Lagi Artikel Berkaitan