24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Tarik balik, perbetul fakta buku teks Sejarah Tingkatan 4

Mesti Baca

CYBERJAYA – Pemuda UMNO hari ini mendesak Kementerian Pendidikan menarik balik buku teks Sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan fakta dalam buku sukatan KSSM tersebut.

Ketua pergerakan itu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana terdapat unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Menurut beliau, buku teks yang dikemas kini ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu seolah-olah usaha terancang dan sengaja dilakukan bagi menanam benih ideologi Malaysian Malaysia dalam pemikiran pelajar.

Berikut kenyataan penuh Asyraf menerusi Facebooknya hari ini:

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks Sejarah Tingkatan 4 KSSM.

Perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan yang diterajui DAP memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

Advertisements
ASYRAF WAJDI DUSUKI

Lebih mendukacitakan lagi apabila terdapat juga elemen memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai ‘barua’ atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang komunis dan MPAJA (Rujuk muka surat 75 Buku Teks Sejarah Tingkatan 4).

Secara halus dan tersirat, kerajaan Pakatan Harapan terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan.

Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku Sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara.

Sementara itu, kelmarin, wakil gabungan NGO-NGO Melayu telah membuat laporan polis berhubung fakta di dalam buku teks Sejarah Tingkatan 4 tersebut.

Selain daripada memasukkan elemen komunis sebagai pejuang kemerdekaan, buku teks itu juga mengangkat tokoh gerakan kiri nasionalis Melayu radikal dan mengiktiraf sumbangan mereka dalam perjuangan kemerdekaan.

“Penerangan mengenai gerakan nasionalis radikal terlalu terperinci. Tajuk-tajuk berkaitan seperti Gerakan Nasionalis Radikal Melayu, Gabungan Putera-AMCJA, Sumbangan Nasionalis Radikal, Cadangan Putera AMCJA dan Perlembagaan Rakyat,” kata wakil NGO-NGO berkenaan seperti dilapor Ismaweb. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan