24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Apa salah Muhyiddin terhadap UMNO?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

APABILA UMNO menyatakan untuk menimbang menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional, ramai tertanya-tanya mengapakah pendirian mengejut tersebut dilakukan.

Macam-macam cerita didengar dan pelbagai spekulasi yang timbul.

Tetapi apakah ‘dosa’ atau salah Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap UMNO sehingga memungkinkan parti yang pernah disertai oleh Perdana Menteri selama 49 tahun sebelum dipecat pada tahun 2016 itu mahu melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sedia ada?

Apakah ada tindakan Muhyiddin yang benar-benar tidak boleh dimaafkan oleh UMNO atau adakah UMNO mengambil tindakan ini sebagai satu ugutan politik bagi memenuhi syarat-syarat yang akan mereka tetapkan?

Adakah syarat-syarat itu berkaitan seperti didakwa Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk  Redzuan Yusof cuba menekan Muhyiddin supaya bersetuju “… dengan beberapa syarat-syarat baharu (melibatkan) beberapa pemimpinnya.’’

Adakah ia ada kaitan dengan kes-kes mahkamah yang sedang dibicarakan? Atau adakah UMNO mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti didakwa oleh satu sumber daripada Bersatu Sabah seperti mana dilaporkan oleh sebuah portal berita, semalam?

Terlalu banyak persoalan, terlalu banyak pertanyaan dan terlalu banyak spekulasi bertebaran berikutan keputusan Biro Politik UMNO, kelmarin.

Yang pasti, UMNO tidak boleh terburu-buru mahu menyelesaikan masalah bersama Kerajaan Perikatan Nasional dengan membuat politik gertakan atau ugutan.

Jika itu dilakukan ia akan menyebabkan UMNO dilihat masih belum insaf dan tidak bersyukur kerana kembali berada dalam kerajaan selepas kehilangan kuasa dalam Pilihan Raya Umum lalu.

Sebenarnya sejak Mac lalu, hubungan antara UMNO dengan Muhyiddin agak terganggu apabila pembentukan Kabinet dilakukan.

UMNO mendakwa tidak diberi kuota yang adil sebagai parti terbesar dalam Perikatan Nasional, walaupun diberikan 14 jawatan Kabinet sebagai Menteri Kanan, Menteri dan Timbalan Menteri. 

Ini belum lagi mengambil kira dua jawatan menteri penuh yang diberikan kepada komponen Barisan Nasional (BN) iatu MCA dan MIC serta sekurang-kurangnya sembilan ahli Parlimen UMNO dilantik menerajui GLC manakala seorang ahli Parlimen dipilih sebagai Timbalan Speaker. 

Di peringkat negeri pula, dua negeri yang sebelum ini Menteri Besar daripada Bersatu telah diserahkan kepada UMNO iaitu Melaka dan Johor.

Penulis tidak menafikan mungkin ada keputusan Muhyiddin tidak menyenangkan UMNO dan dianggap mahu melemahkan parti itu memandangkan UMNO adalah parti penyumbang terbesar kepada pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ia termasuklah pendakwaan di mahkamah yang dikatakan berunsur politik dan terpilih melibatkan pemimpin UMNO.

Bagaimanapun ia berlaku ketika zaman Pakatan Harapan memerintah yang Perdana Menterinya ialah Tun Dr.Mahathir Mohamad, kenapa Muhyiddin pula perlu berada dalam kedudukan ‘orang lain makan nangka, orang lain pula terkena getahnya’? 

Namun apapun hujahnya, ia bukanlah bermakna UMNO boleh menjadikan ia sebagai ‘senjata atau peluru’ bagi mengamalkan politik menggertak.

Adalah lebih baik jika perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu perkara dibincangkan dan dirundingkan secara dalaman serta diselesaikan sebaik mungkin. Pendekatan itu adalah lebih baik kerana ia akan mengelakkan kekalutan dan konflik dalam Perikatan Nasional. 

Advertisements

Penulis bukanlah mahu memihak kepada sesiapa tetapi penulis lebih bimbang bahana yang menanti khususnya melibatkan kuasa politik orang Melayu. Apakah UMNO belum insaf dengan apa yang berlaku selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah?

Masih ingatkah bagaimana UMNO dan pemimpinnya dilayan oleh kerajaan pada masa itu, bak kata seorang kawan, “kalau di Parlimen tu angkat sahaja kepala nak bercakap, terus kena hentak.”

Sebab itulah penulis berpendapat, UMNO perlu berhati-hati, janganlah membuat keputusan seolah-olah Muhyiddin sudah melakukan ‘dosa’ yang tidak boleh dimaafkan.

Ruang perundingan masih ada, penulis yakin jika syarat-syarat itu munasabah dan tidak pelik-pelik serta tidak akan menjejaskan integriti Kerajaan Perikatan Nasional, sudah pasti Muhyiddin tidak akan keberatan memenuhinya.

Pada masa sama Muhyiddin juga perlu serius untuk mengkaji keluhan UMNO yang merasakan parti itu dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dalam Perikatan Nasional. Jika ada yang boleh diperbaiki, perbaikilah sebelum ia mendatangkan kemudaratan lebih besar.

Jika kemudaratan itu berlaku, ia bukan sahaja akan melibatkan UMNO, Bersatu mahupun Pas tetapi kuasa politik Melayu secara keseluruhannya.

Selain itu beberapa pemimpin Bersatu dalam Kabinet pun berhati-hatilah melakukan percaturan politik khususnya mereka yang asalnya daripada UMNO.

Janganlah keterlaluan sehingga dilihat mahu melayan UMNO bagaikan musuh, usah lupa mereka berada pada kedudukan sekarang kerana UMNO, menjadi menteri dalam PN pun kerana UMNO memandangkan mereka menang atas tiket UMNO dalam PRU lalu.

Apapun penulis percaya masa masih ada untuk UMNO ‘memperbaiki keterlanjuran’ menggunakan istilah ‘menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional’ apabila keputusan Biro Politik itu dibawa kepada Majlis Tertinggi pada 17 Oktober ini untuk diputuskan.

Sebagai pemimpin berpengalaman, penulis percaya Muhyiddin pasti akan mempertimbangkan permintaan UMNO dengan sebaik-baiknya, oleh itu tidak perlulah UMNO menggunakan pendekatan yang ketika ini ternyata menyebabkan parti itu dikecam habis-habisan oleh rakyat dalam media-media sosial.

Orang di luar tidak tahu apa kemelut di dalam, mereka tidak peduli soal bagaimana UMNO dilayan, apa yang mereka nampak apabila UMNO ‘gertak’ mahu menarik diri daripada Perikatan Nasional, maka UMNO dituduh ‘tamak kuasa’, adakah ini akan menguntungkan parti itu?

Justeru sebaik-baiknya sebarang masalah dalaman diselesaikan secara senyap-senyap, apatah lagi dalam situasi negara diancam pandemik Covid-19. 

Memetik nasihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak:

“Nasihat saya kepada UMNO dan Kerajaan PN secara amnya ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid-19 serta kebajikan rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenar menjejaskannya.

“Menteri-menteri dari UMNO dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini.” 

Oleh itu diharapkan kemelut antara UMNO dan Bersatu ini diselesaikan dengan damai, percayalah dalam apa situasi pun, walaupun apa yang diketengahkan oleh UMNO adalah betul tetapi dalam kalangan rakyat mereka mempunyai persepsi tersendiri terhadap UMNO.

Inilah cabaran UMNO dan paling penting tersilap langkah, kuasa politik Melayu menjadi taruhannya.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan