31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Sentuhan Amri Yahyah ditagih Sabah FC dalam usia 40 tahun

Mesti Baca

BIARPUN sudah mencapai usia 40 tahun namun sentuhan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Amri Yahyah masih ditagih oleh skuad Sabah FC bagi mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Amri, pemain yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak negara serta pernah beraksi bersama Selangor, Johor Darul Ta’zim, Melaka United dan Sarawak United.

Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) berkata, penyertaan penyerang berpengalaman yang memiliki 64 caps dan menjaringkan 13 gol buat pasukan kebangsaan Malaysia itu membolehkan Sabah FC menerapkan serangan serta corak permainan lebih tersusun pada saingan Liga Super musim ini.

“Usia yang telah mencecah 40 tahun hanyalah angka buat beliau, (Stadium) Likas pula bukanlah asing buat beliau.

“Untuk rekod, kali terakhir Amri Yahyah beraksi di Likas ialah ketika Selangor tewas 2-1 di tangan Sabah dalam kancah Piala Malaysia 2018,” kata kenyataan itu menerusi Facebooknya malam tadi.

Amri antara tiga pemain yang bakal menyarung jersi The Rhinos itu bersama bekas pemain U23 Harimau Muda, N. Thanabalan serta seorang pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani.

SADDIL HAMDANI

Kenyataan itu menyebut Saddil, 22, sebelum ini beraksi dengan Bhayangkara Solo FC dan pernah bermain untuk pasukan Pahang pada musim 2019.

Thanabalan, 26, pula adalah seorang lagi pemain sayap yang cukup dikenali dengan prestasi mantap beliau ketika bersama skuad Bawah 23 Tahun kebangsaan Malaysia sepanjang 2015 hingga 2018.

Beliau sebelum ini pernah menabur bakti bersama pasukan kelahirannya Negeri Sembilan sebelum menyertai Kedah dan beraksi bersama Perak II pada musim lepas.

“Semoga dengan kehadiran Thanabalan akan memberikan lebih banyak pilihan buat (Ketua Jurulatih) Kurniawan Dwi Yulianto di bahagian sayap Sabah FC di samping boleh bertindak sebagai pemain tengah menyerang,” menurut kenyataan itu. – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan