24.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Liputan 5G seluruh negara menjelang hujung 2021

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Teknologi rangkaian selular generasi kelima (5G) akan dinikmati oleh rakyat di seluruh negara menjelang hujung tahun ini secara berperingkat.

Jaminan itu diberi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya hari ini.

Menurut beliau, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa-sebenar atau real-time, untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

“Bayangkanlah, teknologi 5G ini merupakan satu gamechanger, kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya.

Muhyiddin berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, sebanyak RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang sepuluh tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara.

Beliau menambah, inisiatif itu akan mewujudkan kira-kira 105,000 peluang pekerjaan.

Muhyiddin Yassin berucap melancarkan MyDigital dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia secara maya hari ini.

“Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau special purpose vehicle dibawah kerajaan Malaysia.

“Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G,” jelasnya.

Perdana Menteri berkata, semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Menurut beliau, perkongsian kos infrastruktur itu membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna.

“Keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan,” ujarnya.

Selain itu, Muhyiddin menambah, sejumlah RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan atau connectivity sedia ada.

Advertisements

Beliau berkata, rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat daripada 7.5 juta premis di hujung tahun 2022 kepada 9 juta premis menjelang penghujung tahun 2025.

“Bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima atau fifth generation cellular networking technology (“5G”) dalam masa yang terdekat,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sejumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023.

Menurut beliau, langkah itu akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekali gus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia.

Muhyiddin memberitahu, antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat Cloud Service Provider (CSP) atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di sini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa kerajaan setakat ini telah memberikan kebenaran bersyarat kepada empat syarikat CSP – Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala-hiper atau hyper-scale dan perkhidmatan cloud services.

“Pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services, juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis,” jelasnya.

Di samping itu, beliau berkata, kerajaan juga telah mencadangkan untuk melantik tiga syarikat ICT tempatan sebagai Manage Service Provider (MSP) bagi bekerjasama dengan CSP ini untuk menguruskan perkhidmatan CSP kepada agensi sektor awam, seiring dengan hasrat untuk memperkasakan keupayaan syarikat tempatan.

“Syarikat tersebut adalah Enfrasys Solution Sdn.Bhd., Prestariang Systems Sdn. Bhd. dan Cloud Connect Sdn. Bhd.,” ujarnya.

Sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan sektor awam, Muhyiddin menambah, kerajaan menerusi strategi Cloud First, telah menyasarkan migrasi 80 peratus data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022.

Beliau berkata, selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi itu dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang.

“Perkhidmatan Cloud juga akan membolehkan aplikasi Big Data, AI, IoT dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan,” katanya. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan