34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Perkasakan BN hala tuju utama UMNO – Zahid

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan UMNO ada hala tuju yang jelas dan paling utama memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan PRU-15.

Kedua, kata Presiden UMNO itu ialah memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN.

“Saya juga faham hala tuju sering dikaitkan dengan strategi. Sekali lagi saya beri jaminan UMNO ada strategi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid yang sebelum ini didakwa mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri enggan menyatakan apakah strategi tersebut.

“Ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan. Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema.

“Perlu bijaksana. Menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan,” katanya.

Beliau juga yang sebelum ini didesak berehat daripada jawatan Presiden turut memberi jaminan barisan kepimpinan UMNO mempunyai strategi terbaik untuk UMNO, para ahli-ahlinya dan rakyat keseluruhan.

“Tetapi agak menghairankan apabila anti-UMNO yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana UMNO kononnya tiada hala tuju. Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara saudari ada jawapannya,” katanya.

Baru-baru ini Felo Penyelidikan Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr. Achman Dzarien Mohd Nazri menyifatkan Ahmad Zahid Hamidi masih bingung dan tiada arah dalam menafsir corak kepemimpinannya sendiri kepada parti.

Kata Dr. Achman Dzarien, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu seakan-akan bingung dengan konsep jajaran serta pergerakan politik parti itu sendiri pada masa hadapan..

“Kalau hendak melihat kepada apa yang dibuat Perikatan Nasional (PN) dalam merancang, merencana strategi atau perancangan serta mengadakan persiapan berhadapan Piihan Raya Umum (PRU), kita kena akui PN berada di depan.

“Kita hendak lihat gerak kerja atau strategi UMNO, hari ini kita lihat bahawa UMNO sedang berhadapan krisis identiti.

“Kita lihat dalam UMNO ada golongan terbuka menyatakan bahawa mereka sedia bergerak solo, ada golongan yang mahu jalinkan kerjasama dengan parti di dalam PN dan ada satu pihak lagi diam-diam memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR,” katanya seperti dilaporkan oleh Astro Awani, Isnin lalu.

Sementara itu sumber memberitahu Edisi 9, sememangnya soal hala tuju menjadi perbincangan dalam kalangan pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

Kata sumber tersebut, ia berkaitan soal kerjasama dengan parti-parti lain dan mereka masih belum memahami apa yang dimaksudkan dengan jajaran baharu yang disebut oleh Ahmad Zahid sebelum ini.

“Memang betul Ahmad Zahid berkata, jajaran baharu itu bukannya bermaksud bekerjasama dengan DAP, tetapi beliau kenalah memberi pemefahaman kepada ahli-ahli, siapa yang akan terlibat dalam jajaran baharu ini.

“Dalam BN pun tak menentu, parti-parti dari Sarawak sudah tidak lagi menjadi ahli komponen. Pas pula sudah jadi anggota PN,” katanya ketika dihubungi.

Sumber itu turut mendakwa, ahli Majlis Tertinggi dikatakan berpecah, selain soal isu hubungan dengan Anwar yang sehingga kini tidak dijelaskan secara terus terang oleh Ahmad Zahid, mereka juga ‘berbalah’ berkaitan hubungan dengan Bersatu.

“Satu pihak mahukan hubungan itu diteruskan dengan syarat yang ketat manakala satu lagi pihak tidak mahu sebarang kerjasama dalam PRU-15. Disebabkan kekalutan ini, mereka berpendapat, UMNO perlu ada perubahan kepemimpinan.

“Mereka mahu pemilihan tahun ini tidak ditangguh dan diadakan sebelum PRU-15 supaya ‘ada panglima baharu’ mengemudi parti itu memasuki gelanggang pilihan raya tersebut,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Lebih 27,000 kandungan diturunkan sejak awal tahun – MCMC

SEBANYAK 27,115 kandungan bersifat provokatif melampau dalam media sosial dan platform Over The Top (OTT) telah diturunkan dalam tempoh...

Lagi Artikel Berkaitan