24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Hati-hati, jangan tertipu scam pajak gadai online

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

CYBERJAYA – Orang ramai diingatkan agar jangan terpedaya dengan sindiket penipuan pajak gadai yang beroperasi secara dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, kerancakan aktiviti berkenaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan.

Menurut beliau, pelaksanaan PKP sejak 20 Mac tahun lalu telah memberi impak dari segi ekonomi dan pendapatan golongan tertentu.

pajak gadai Zainuddin Yaacob
ZAINUDDIN YAACOB

“Demi kelangsungan hidup, sesetengah daripada mereka terpaksa menggadaikan barangan berharga di pajak gadai.

“Dari sudut pandang polis, situasi ini memungkinkan wujudnya aktiviti pajak gadai tidak berlesen atau penipuan pajak gadai yang mengambil kesempatan ke atas mangsa-mangsa yang terdesak untuk mendapatkan wang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Zainuddin memberitahu, orang ramai hendaklah sentiasa berwaspada dan berhati-hati sekiranya ingin menggadaikan barangan berharga.

Beliau menambah, mereka perlu memastikan syarikat di mana mereka berurus niaga adalah yang dilesenkan oleh kerajaan.

“Jangan sesekali berurusan melalui medium dalam talian kerana aktiviti pajak gadai hendaklah dijalankan secara fizikal di premis perniagaan yang berdaftar,” jelasnya.

Zainuddin mengesahkan bahawa tiada laporan polis berkaitan kes penipuan pajak gadai dalam talian yang diterima setakat ini.

Advertisements

“Namun, kebarangkalian untuk kes-kes sebegini berlaku adalah tidak mustahil.

“Justeru, masyarakat perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil tahu prosedur dan undang-undang yang berkaitan bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha dan peranan dari pihak polis serta masyarakat amat penting bagi memastikan negara ini terhindar daripada perlakuan jenayah komersial.

Zainuddin turut mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengamal sikap berjimat-cermat dan mengutamakan keperluan.

“Hidup secara bermewah-mewah bukan lagi satu pilihan kerana yang lebih penting adalah memastikan kelangsungan hidup itu sendiri,” katanya.

Memang kebelakangan ini, kedai emas dan pajak gadai selalu menjadi tumpuan orang ramai terutamanya kaum wanita yang ingin menjual atau menggadaikan barang kemas mereka.

Seperti yang dinasihatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), eloklah mereka berurusan di premis yang beroperasi secara fizikal.

Duit pun tentu dapat setelah barang kemas digadaikan.

Kalau secara dalam talian, barang kemas boleh lesap, duit pun hilang entah ke mana. – EDISI 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan