25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Kerteh FC bersaing dalam VPG Asia Premier League 2021

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KEMAMAN – Ketika Liga Malaysia berehat lama berikutan wabak Covid-19, juara Liga Amatur Terengganu 2019, Kerteh FC tidak hanya duduk berdiam diri meratap nasib.

Namun sebaliknya kelab bola sepak komuniti itu mengambil peluang tersebut dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sekarang dengan menceburi bidang e-sukan.

Bagi tujuan itu, kelab yang bakal beraksi dalam M-3 Liga Malaysia itu telah menjalinkan kerjasama dengan sebuah organisasi e-sukan terkemuka dunia, Virtual Pro Gaming (VPG) yang berpangkalan di Ohio, Amerika Syarikat.

VPG sebelum ini telah mengendalikan beberapa pasukan e-sukan kelab bola sepak di Eropah seperti Sevilla FC, Panathinaikos, Sporting CP, dan Queens Park Rangers.

Ketua Pegawai Eksekutif Kerteh FC, Syed Khairi Amier berkata, penglibatan kelab itu dalam e-sukan akan membuka kesempatan dan peluang yang unik untuk memasarkan jenama kelab ke pasaran global.

“Pada masa yang sama ia juga merupakan kesaksian tentang bagaimana Kerteh FC memperhatikan evolusi bentuk hiburan dan aliran terkini.

“Kami sentiasa bersedia untuk menerima cabaran baru dan hari ini kami dengan hormatnya melancarkan kerjasama ini bersama VPG,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Syed Khairi berkata, VPG akan membantu kelabnya untuk membentuk pasukan dan pengurusan operasi pasukan Kerteh FC Esports.

“Platfom ini terkenal dengan permainan eletronik bola sepak 11v11 iaitu mod Pro Clubs dalam FIFA21,” katanya.

Beliau berkata, anggota pasukan Kerteh FC Esports sudah lengkap dan mereka akan menyertai pertandingan sulung pada 17 Februari ini dalam saingan VPG Asia Premier League.

Sementara Pengarah VPG Asia, Syed Yusuf bin Syd Salleh berkata, pihaknya melalui kerjasama itu kedua-dua pihak memperoleh keuntungan yang mana VPG akan menempatkan Kerteh FC Esport dalam komuniti mereka.

Kerteh FC Esports juga, tambah beliau, akan dipromosikan oleh VPG dengan tujuan untuk melibatkan interaksi peminat mereka dan liputan media.

“Kedua-dua pihak akan mendapat keuntungan dengan tambahan perhatian media, penglibatan peminat dan menjadi pelopor di Malaysia dalam bidang e-sukan yang berkembang pesat diseluruh dunia ini,” katanya.

VPG Asia Premier League berlangsung selama 15 minggu dan akan disertai pasukan-pasukan hebat di rantau Asia antaranya dari Singapura, Indonesia, Hong Kong, Taiwan dan Jepun.

Jika muncul juara liga, Kerteh FC Esports akan bersaing di peringkat play-off dan berpeluang dinobatkan sebagai juara Asia.

Perlawanan mereka dalam VPG Asia Premier League akan berlangsung pada setiap hari rabu, pukul 11 dan 11.30 malam.

Kesemua perlawanan melibatkan Kerteh Esports Team akan disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi mereka iaitu FB/KertehEsports. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan