CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin bahawa saluran DidikTV yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) akan dapat membantu pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) khususnya bagi murid yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan secara dalam talian.
Perdana Menteri berkata, ibu bapa juga boleh meluangkan masa untuk menonton DidikTV KPM bersama-sama anak-anak.
Menurut beliau, segala usaha ini memerlukan sokongan padu dan kerjasama erat daripada semua pemegang taruh, khususnya murid, guru dan juga ibu bapa.
“Marilah kita semua bersatu hati melaksanakan tanggungjawab dalam menjayakan agenda besar pendidikan negara ke arah yang lebih cemerlang demi masa depan generasi pewaris negara.
“Besarlah harapan saya agar saluran DidikTV KPM yang mula bersiaran pada hari ini akan menjadi platform untuk memperkasakan lagi budaya ilmu, menerapkan nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi,” katanya ketika berucap melancarkan saluran khusus TV Pendidikan itu secara maya, hari ini.
Muhyiddin menambah, pelancaran DidikTV KPM itu mengukir sejarah di mana kerajaan buat pertama kalinya memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan dengan pengisian dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
Beliau memberitahu, langkah itu merupakan usaha berterusan Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara.
“DidikTV KPM akan menyiarkan program-program yang berteraskan kurikulum dan kokurikulum Kementerian Pendidikan.
“Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan daripada peringkat prasekolah hingga tingkatan 6, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
“Selain itu, kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid akan turut disiarkan,” jelasnya.
Perdana Menteri juga tertarik dengan slot ‘Road to Success SPM 2020’ bagi subjek Matematik Kertas 1 oleh Cikgu Arzman Saad yang sempat ditonton beliau.
Menurut beliau, antara yang menarik perhatian saya adalah cara penyampaian guru yang begitu kreatif serta mudah diterima dan difahami oleh murid.
Muhyiddin juga difahamkan bahawa guru yang dijemput untuk mengajar adalah daripada kalangan guru yang berpengalaman dalam bidang masing-masing supaya kualiti pengajaran yang disampaikan untuk murid adalah pada tahap yang terbaik.
“Program sebegini adalah sangat baik bagi membantu calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan mula menduduki peperiksaan pada minggu hadapan,” ujarnya.
Beliau percaya dan yakin ramai dalam kalangan warga pendidik di negara ini mempunyai kemahiran dan kepakaran menyampaikan kandungan pembelajaran secara kreatif.
“Tahniah kepada guru-guru yang begitu komited mendidik anak murid dalam apa jua keadaan,” katanya bagi memberi perangsang kepada guru-guru di seluruh negara. – EDISI 9