29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Scam-poligami: Henti propaganda cemarkan institusi kehakiman syariah

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DATUK HAZIZAH KASSIM

MALAM tadi (semalam) kita disajikan dengan program Analisis: Wujudkah Scam Poligami? menerusi sebuah siaran televisyen swasta.

Antara perkara yang dibentangkan oleh salah seorang panel adalah isu ketidakpuasan hati seorang wanita terhadap keputusan mahkamah syariah yang didakwa dilakukan oleh pegawai mahkamah secara tidak menurut undang-undang selain wujudnya penipuan dokumen.

Lantas istilah ‘scam-poligami’ dicipta untuk menggambarkan penipuan dalam kes poligami.

Apa yang ingin saya kongsikan adalah tentang keperluan mempertahankan kredibiliti Mahkamah Syariah dan institusi kehakiman syariah dicelah-celah isu scam poligami yang diwar-warkan.

Dalam membincangkan isu ketidakpuasan hati tersebut, sesiapapun tidak wajar dibiarkan mengeluarkan tohmahan memperkecil-kecilkan institusi kehakiman syariah secara umum sehingga menghilangkan kepercayaan masyarakat di negara ini.

Setiap isu undang-undang yang timbul dalam setiap kes perlu diselesaikan mengikut saluran undang-undang yang ada dan bukannya didedahkan di media sosial untuk meraih simpati dan memburukkan sistem kehakiman syariah termasuk para hakim.

Setiap individu yang terkesan dengan keputusan mahkamah, mempunyai hak melantik peguam yang dipilihnya sendiri untuk membawa kes tersebut ke mahkamah yang lebih tinggi untuk dinilai dan diperhalusi semula.

Hak ini jelas diperuntukkan dalam undang-undang pentadbiran yang mana Mahkamah Rayuan misalnya mempunyai bidang kuasa pengawasan dan penyemakan ke atas Mahkamah Tinggi.

Haruslah diingat, perlantikan para hakim dan penubuhan Mahkamah Syariah adalah tertakluk dalam kuasa Yang di-Pertuan Agong dan sultan bagi negeri-negeri beraja.

Cemuhan terhadap institusi kehakiman syariah dan para hakim secara terbuka di media sosial tanpa melalui saluran undang-undang umpama melemparkan cemuhan terhadap kuasa yang melantik para hakim syarie.

Harus juga diingat, Arahan Amalan No.13 Tahun 2004 berkaitan Penghinaan Diluar Mahkamah yang berkuatkuasa mulai 8.6.2004 menetapkan penghinaan diluar mahkamah adalah termasuk “mengeluarkan apa-apa kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis oleh mana-mana orang atau badan atau pertubuhan atau organisasi yang adalah satu perbuatan menghina Mahkamah Syariah”.

Justeru, hentikanlah propaganda yang mencemarkan institusi kehakiman syariah dan gunakanlah saluran undang-undang yang tersedia untuk mencabar keputusan mahkamah dan mendapatkan hak disisi undang-undang.

Begitu juga, tidak wajar individu muslim membuat kecaman terbuka terhadap Mufti yang merupakan orang yang layak dan sesuai dalam menjalankan kuasa menasihati dan membantu Yang di-Pertuan Agong dan sultan berkenaan semua perkara berkaitan hukum syarak.

Siapalah kita jika dibandingkan dengan ketinggian ilmu dan kerendahan hati seorang mufti.

Penghinaan dan kecaman terbuka sedemikian yang diterbitkan dalam media sosial telah menular dalam kalangan masyarakat Islam dan mendatangkan fitnah kepada kesucian Islam, hukum syarak, institusi agama dan kehakiman syariah secara keseluruhan.

Kembalilah bertindak atas ilmu dan kebijaksanaan, bukan emosi dan dendam.

Semoga Allah merahmati kita semua.

Penulis adalah pengamal undang-undang. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan