KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyindir rasional di sebalik kebenaran kedai pakaian dalam mewah beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sindiran Najib itu dibuat selepas tindakannya mempersoalkan pembukaan gedung perabot dan kedai emas semasa PKP dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh segelintir pengguna media sosial.

Menurutnya, macam-macam alasan diberi, kedai perabot dibuka sebab mungkin ada keperluan ganti perabot yang musnah dalam banjir.
“Kedai emas dibuka kerana ada setengah kedai emas yang juga beli emas dan ini perlu sebab mungkin ada mereka yang memerlukan cash (tunai) segera.
“Sebab itu, saya tak sabar nak baca apa alasan mereka mengapa kedai-kedai pakaian dalam mewah terkenal Victoria’s Secrets dibenarkan untuk beroperasi masa PKP.
“Pakaian dalam mewah juga barangan keperluan masa PKP ke? tulisnya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam, Najib mempersoalkan mengapa gedung perabot dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP dilaksanakan di enam negeri dan wilayah persekutuan.
Dalam hantaran di Facebook, Najib mempersoalkan apakah jualan perabot termasuk dalam perkhidmatan perlu (essential service).
“Semua gedung IKEA seluruh negara dibenar terus beroperasi dalam PKP ini?
“Malah kanak-kanak dan warga emas dibenarkan berkunjung walaupun tidak digalakkan.
“Adakah penjualan perabot termasuk dalam perkhidmatan perlu (Essential service) tapi ramai peniaga kecil lain tidak dibenarkan meniaga pula?” katanya.
Najib berkata kerajaan perlu berlaku adil kepada semua pihak ketika peniaga kecil dalam sektor tertentu tidak dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP yang dijadual berakhir 26 Jan ini.
“Kita mesti adil pada semua. Biarlah PKP 2.0 fasa pertama untuk 2 minggu ini lebih tegas agar ia dapat mencapai matlamat dan tidak perlu dilanjutkan berulang kali,” katanya lagi.