27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tun Salleh Abas: Catatan peribadi Shabery

Mesti Baca


Oleh DATUK SRI AHMAD SHABERY CHEEK

AHMAD SHABERY CHEEK

UMNO diisytiharkan haram pada tahun 1988 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ekoran tuntutan 11 orang anggota memohon agar pemilihan tahun 1987 diisytiharkan tidak sah kerana terdapat perwakilan yang datang dari Bahagian-bahagian yang mengandungi cawangan-cawangan tidak sah. 

Dalam pemilihan itu Dr Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah hanya dengan majoriti 44 undi untuk jawatan Presiden UMNO. 

Mahkamah Tinggi menolak permohonan kumpulan 11. Sebaliknya menerima hujah peguam UMNO, Sri Ram yang meminta UMNO diharamkan terus.

Ia berdasarkan klausa Akta Pertubuhan yang menyebut mana-mana pertubuhan yang mempunyai cawangan tidak sah maka keseluruhan pertubuhan itu tidak sah.

Ramai menganggap keputusan ini memberi kelebihan kepada Dr. Mahathir.

Apabila UMNO tidak sah, maka beliau boleh menubuhkan UMNO Baru dan me’nyah’kan semua musuh-musuh politiknya dalam UMNO.

Bukan sahaja Tengku Razaleigh dan Musa Hitam yang tidak dibenarkan masuk, orang lama seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn juga disenaraikan.

Kumpulan 11 merayu kes agar UMNO tidak diharamkan tetapi hanya pemilihan semula diadakan.

Rayuan sampai ke Mahkamah Agung. Tun Salleh Abas mengumumkan agar kes ini didengar oleh panel hakim penuh (full bench) iaitu seramai 6 hakim.

Alasan Tun Salleh kes ini besar melibatkan parti besar orang Melayu dan implikasinya besar untuk negara. Mengharapkan kebijaksanaan lebih ramai untuk sama-sama mendengar dan membuat pertimbangan.

Semua yang mengenal Tun Salleh Abas tahu mengenai sifat dan akhlaknya.

Selepas mengumumkan jumlah hakim yang akan mendengar kes tersebut, Dr. Mahathir terus ke Tanah Suci menunaikan umrah dan mohon petunjuk.

Sekembalinya Dr. Mahathir ke tanahair Tun Salleh Abas digantung tugas.

Bersama dengan 5 hakim-hakim lain, beliau dihadap ke suatu tribunal kehakiman. Tribunal diketuai oleh Timbalannya sendiri.

Tun Salleh Abas dipecat dan timbalannya itu diangkat menjadi Ketua Hakim baru.

UMNO kekal haram manakala UMNO Baru ditubuhkan. Selepas itu pelbagai pindaan kepada pelbagai undang-undang berlaku. Dr. Mahathir kekal berkuasa.

Banyak boleh ditimba dari buku Allayarham Tun Salleh Abas bertajuk May Day For Justice.

  • Ahmad Shabery ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan