29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO kucar-kacir, Tok Mat mesti selamatkan parti

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh: WAK TOTOK

KUBU UMNO boleh dikatakan agak kucar-kacir sejak kebelakangan ini. Depan, belakang, kiri, kanan, luar, dalam semua kena serang.

Lebih memburukkan keadaan, panglima tertinggi UMNO dilihat gagal memberi arahan yang jelas kepada hulubalang-hulubalangnya.

Ada yang setia membantai musuh tradisi dan ada juga yang menikam sekutu sendiri dari belakang.

Nasib baik dalam keadaan yang kucar-kacir ini, belum ada yang hilang pertimbangan dan menembak diri sendiri.

Tidak kurang juga ada pihak di luar yang ingin menangguk di air yang keruh dalam kolam UMNO yang sedang bergelora akibat ribut kencang.

Sebagai parti Melayu yang besar dan berpengaruh, sudah tentu ada yang ingin melihat UMNO lemah atau lenyap terus daripada dunia politik Malaysia.

Memang betul UMNO ada keramatnya dan nyawanya agak liat untuk ditamatkan.

Lebih-lebih lagi, lasykar-lasykar yang tinggal dalam UMNO adalah mereka yang terbukti kesetiaan dan sanggup berjuang bermati-matian mempertahankan parti.

Kalau diberi pilihan sama ada tubuh dikerat 12 atau melompat katak ke parti lain, mereka tetap mengambil pilihan yang pertama.

Cinta mereka terhadap UMNO melebihi kesetiaan terhadap pucuk pimpinan parti, lebih-lebih lagi mereka yang cuba menyongsangkan hala tuju perjuangannya.

Komplot untuk berpakat dengan Anwar Ibrahim dan DAP pasti ditolak bulat-bulat oleh lasykar-lasykar akar umbi UMNO.

Mereka yang di atas kena hadamkan perkara ini semasak-masaknya, jangan buat UMNO macam parti sendiri.

Sememangnya, sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa mengelak daripada menyatakan pendirian yang jelas tentang banyak isu membabitkan UMNO amat meresahkan akar umbi.

Misalnya, dalam isu akuan bersumpah (SD) sokongan segelintir Ahli Parlimen UMNO kepada Anwar seperti yang didedahkan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Sekiranya pendedahan itu tak betul atau fitnah, mengapa pihak yang dituduh tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Annuar?

Begitu juga dengan dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak bertemu dengan Anthony Loke yang menimbulkan banyak spekulasi.

Pokok pangkalnya, dalam keadaan yang kucar-kacir ini, UMNO memerlukan panglima perang yang benar-benar berwibawa dan berupaya menampal lubang-lubang yang membocorkan bahtera parti.

UMNO mesti bebas daripada pemimpin-pemimpin yang hanya ingin menyelamatkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan buruk terhadap parti.

UMNO mesti berani dan tegas dalam menyatakan pendiriannya tanpa dihantui kenyataan samar-samar yang hanya ingin menyedapkan diri sendiri.

Kalau ingin putuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN), katakan sahaja secara en bloc melalui platform parti.

Bukannya oleh seorang dua sedangkan yang lain duduk bersembunyi.

Dalam peperangan, timbalan panglima mesti mengambil alih tugas mengetuai pasukan sekiranya panglima besar tidak dapat lagi berfungsi secara berkesan.

Dalam hal UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan perlu melangkah ke hadapan dan sekali lagi menyusun semula bala tentera parti agar mereka tidak mati katak ditembak pihak lawan.

Beliau telah melakukannya dengan cemerlang semasa Ahmad Zahid melalui fasa ‘cuti 1.0’ dahulu.

Wak percaya ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang masih waras akan menyokong Tok Mat.

Memang kita dituntut untuk taat setia kepada pemimpin tertinggi, tetapi kalau nombor 1 sudah ke laut, takkanlah kita semua hendak terjun sama.

Lebih baik kita perang dingin sekarang daripada berlaku perang saudara semasa PRU-15 hampir tiba.

UMNO mesti diselamatkan dan Wak percaya hanya Tok Mat yang mampu melakukannya.

  • Wak Totok ialah seorang pemerhati politik semasa yang teguh memperjuangkan alif, ba, ta sejak dulu kini dan selama-lamanya.
  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan