31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kes kumulatif tak dilapor secara terus faktor Covid-19 tinggi – MB

Mesti Baca

SHAH ALAM – Kes harian Covid-19 di Selangor yang mencatat angka tertinggi semalam sebahagian besarnya disumbang oleh kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun ‘real time’. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu kenyataan media berkata, kes kumulatif itu boleh dikesan dari kes yang berlaku 10 hari yang lalu. 

Menurutnya, pendedahan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid -19 Negeri Selangor yang dipengerusikannya malam tadi antara lain membincangkan mengenai peningkatan mendadak kes COVID-19  serta langkah-langkah bagi memutuskan rantaian wabak.

“Bagi mengatasi masalah ini pihak JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor) akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA),” katanya hari ini.

Semalam, Selangor mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi di negara ini dengan 3,126 kes baharu iaitu 2,776 kes tempatan manakala 350 kes lagi di penjara atau lokap.

Selain itu tegas Amirudin, mesyuarat telah mengenal pasti kilang-kilang di seluruh negeri Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak. 

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri akan melaksanakan Program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS). 

POIS ujarnya adalah program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan. Ini bagi memutuskan rantaian serta mengelakkan kluster di tempat kerja. 

“POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM),” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, bagi mengelakkan tercetus kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja, Kerajaan Negeri Selangor akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat (contact tracing). 

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan untuk menambah pusat Covid Assessment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak. 

“CAC berperanan untuk menganalisa pesakit COVID-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut. 

“JKNS turut memaklumkan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit. Fasiliti khas seperti khemah ICU dan peralatan perubatan turut telah disediakan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin menyeru semua rakyat Selangor untuk bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) antaranya kekal konsisten memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. 

“Selangor tanggungjawab kita. Hanya dengan semangat kekitaan ini sahaja yang akan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” tambahnya.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan