32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Cabar Proklamasi Darurat: Kemuncak keterdesakan Anwar?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh MOHAMAD ASRI

TINDAKAN terbaharu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong berhubung proklamasi darurat baru-baru ini merupakan ‘siri keterdesakan terbaharu’ Anwar.

Satunya terdesak mahu terus kekal relevan sebagai pemimpin penting Pakatan Harapan (PH) dan satu lagi terdesak mahu mencapai impian menjadi Perdana Menteri.

Setelah gagal dalam semua percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin, sehingga parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) ‘mula curiga dan hilang keyakinan’ kepada Anwar, Ketua Pembangkang itu melihat saluran mahkamah sebagai jalan akhir bagi menyelamatkan sisa-sisa hayat politiknya.

Setelah banyak kali ‘tersadung di permulaan dan pertengahan jalan’ Anwar mengatur pelan politik dengan lebih cermat. Sebelum memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar terlebih dahulu mengutus surat kepada semua ahli Parlimen meminta mereka menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi merayu Seri Paduka membatalkan pelaksanaan darurat dan Parlimen segera bersidang.

Seminggu selepas ’kempen’ tersebut, Ketua Pembangkang dengan yakin mengeluarkan kenyataan mendakwa ‘majoriti ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang’ sudah menulis surat kepada Istana Negara bagi tujuan yang sama.

Yang menariknya dalam setiap kenyataan atau pengumuman, Anwar tidak lupa ‘melibatkan sekali’ ahli Parlimen kerajaan bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa tindakan beliau bukan sahaja disokong oleh pembangkang tetapi juga blok kerajaan. Hakikatnya hanya segelintir pemimpin UMNO ‘bermasalah’ sahaja yang menyokong beliau.

Sejak kejadian Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengutus surat kepada Agong secara diam-diam bagi menyatakan sokongan kepada Anwar untuk dipilih sebagai Perdana Menteri Oktober tahun lalu, Anwar sehingga sekarang terus yakin kedua mereka akan menyebelahinya jika diadakan undi tidak percaya ke atas Muhyiddin. Sementelah sehingga kini Zahid dan Najib tidak pernah menafikan surat tersebut.

Tahap keyakinan beliau kali ini tidak jauh beza dengan ‘beberapa keyakinan sebelum ini’ antaranya ‘kita sudah mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi,’ ‘kerajaan PN sudah hilang majoriti,’ ‘saya sudah mempunyai sokongan kukuh dan menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan.’

Anwar boleh memberi apa sahaja alasan kenapa beliau membawa perkara tersebut ke mahkamah namun para pemerhati politik negara tidak dapat tidak tetap mengaitkan tindakan Anwar itu dengan cita-cita ‘tak kunjung padam’ beliau mahu menjadi Perdana Menteri.

Pakar-pakar perlembagaan sebelum ini menegaskan proklamasi darurat tidak boleh dicabar atau dipertikaikan oleh sesiapa pun dalam mana-mana mahkamah kerana perkara itu jelas termaktub dalam perkara itu jelas termaktub dalam Perkara 150 (Fasal 8) Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun mengetahui perkara tersebut tidak akan menjadi kenyataan, Anwar tetap tidak berputus asa. Beliau mahu isu ini terus hidup bagi memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bagi tujuan itu , PH didakwa menggerak dan memperhebatkan pelbagai wacana diskusi dan perbincangan menerusi platform-platform media sosial walaupun dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa bagi menggambarkan isu tersebut sangat penting malah lebih penting daripada isu hidup mati rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Perbuatan ini dilakukan tanpa mempedulikan sedikitpun perkembangan kes Covid-19 yang memuncak saban hari. Semalam sahaja jumlah kes sudah melebihi 5,000 sehari dengan angka kematian terus meningkat.

Malaysia adalah sebuah negara yang malang dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini.

Di negara lain para pemimpin politik tanpa mengira latar belakang parti dan rakyat bersatu hati , bertungkus lumus berusaha melawan wabak ini bagi memastikan keselamatan nyawa, kesihatan dan kesejahteraan hidup rakyat terpelihara.

Di sini pula, ahli-ahli politik bertungkus lumus siang malam mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada hanya bagi menjayakan cita-cita politik seseorang untuk menjadi Perdana Menteri.

  • Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan