27.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Kedah Tua: Kebenaran mana yang mahu kamu dustakan?

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh DR NAZARUDIN ZAINUN

BARU-BARU ini saya diberikan satu cuplikan komen dan pernyataan berunsur anakronisme dalam sejarah Kedah Tua.

Pernyataan tersebut muncul apabila ada pihak yang mendakwa bahawa Kedah Tua ditemui dan dibuka oleh Rajendra Chola I (1014-1044 Masihi) dari kerajaan Chola bertempat di India Selatan, yang pernah datang dan menakluki Kedah Tua serta sebahagian daripada Asia Tenggara pada 1025 Masihi (kurun Ke-11).

Ada banyak pihak yang berminat dengan sejarah Kedah Tua khususnya berkaitan dengan Lembah Bujang.

Selain daripada misi akademik, mereka menerokainya dengan pelbagai maksud dan tujuan.

Perhati dan fikirkan kronologi di bawah dan bandingkan dengan pernyataan di dalam cuplikan Facebook tersebut.

Berdasarkan sumber Sastera Sanggam kurun Kedua Masihi menyebut Kedah Tua sebagai Kazhagam yang memiliki hubungan perdagangan dengan Madurai.

Pada kurun Keempat dan Kelima Masihi, sumber Jakata menyatakan bahawa Kedah Tua dan Langkasuka merupakan dua buah kerajaan besar di Semenanjung.

Kurun Ketujuh dan Kelapan Masihi, Sastera Kathasaritsagara dan Kaumudimahotsava pula menyebut Kedah Tua sebagai sebuah pelabuhan yang besar.

Pada kurun Ke-11 Masihi, prasasti-prasasti dari Raja Kulotungga I, Rajendra, Virarajendra dan Kulotungga II menyebut tentang hubungan diplomatik antara Kedah Tua dan Chola.

Konflik hanya berlaku pada zaman pemerintahan Rajendra I pada 1025 Masihi, tetapi pada 1068 Masihi, di bawah pemerintahan Virarajendra, hubungan dipulihkan.

Dalam hal ini kesahihan prasasti Chola juga boleh diperdebatkan kerana ada pengkaji menyatakan bahawa prasasti kerajaan tersebut yang memicu dakwaan di atas merupakan dokumen rasmi kerajaan yang bertujuan mengagung-agungkan pemerintahnya.

Hakikat sebenar kerajaan Chola memang datang dan menjajah Kedah Tua (Srivijaya) pada 1025 Masihi dan selepas menjarah segala harta benda berharga mereka meninggalkan Kedah Tua (Srivijaya) tanpa mentadbirnya seperti penjajah yang lain.

Selain sumber India, sumber China kurun Keenam dan Ketujuh Masihi juga menyebut Kedah Tua (Cheh Cha) sebagai pusat perdagangan.

Sumber Arab kurun Kelapan hingga Ke-14 Masihi menyebut Kedah Tua (Kalah Bar) sebagai pelabuhan yang besar.

Perhatikan bahawa Kedah Tua yang telah wujud dari kurun Kedua Masihi telah merosot dan bertukar tumpuan daripada kerajaan perdagangan atau maritim kepada kerajaan pertanian atau agraria pada kurun Ke-14 Masihi.

Namun imperial Chola cuma wujud bermula tahun 850 (kurun Kesembilan Masihi) dan berakhir pada kurun Ke-13 Masihi.

Jadi jelas dakwaan tersebut hanya mitos dan bersifat anakronis sahaja, sedangkan Kedah Tua sudah ada jauh lebih awal daripada kewujudan kerajaan Chola itu sendiri dan terus wujud selepas kejatuhan Chola.

Jika demikian bagaimana mereka boleh mendakwa bahawa Rajenda Chola I yang menemu dan menamakan Kedah Tua itu sebagai Kadaram.

Jadi kepada kumpulan ini, kebenaran mana yang mahu kamu dustakan?

  • Prof Madya Dr Nazarudin Zainun adalah pakar sejarah Asia Tenggara dan merupakan pensyarah kanan di Universiti Sains Malaysia.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan