29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

UMNO perlu berani ubah kepemimpinan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


Oleh AHMAD JAUHAR

Baru beberapa minggu tahun 2021 membuka tirai, parti tertua orang Melayu iaitu UMNO sudah mula berantakan. Ini belum lagi Perhimpunan Agung UMNO.

Bermula daripada pemecatan Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, `Gerakan 6121’ untuk keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan terkini serta hangat isu Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi didesak meletakkan jawatan. Dokumen 30 Dalil mengapa Ahmad Zahid perlu meletakkan jawatan juga turut aktif berlegar.

Semua ini berlaku ketika bilangan kes COVID-19 mencanak naik. Ahli-Ahli Parlimen UMNO tidak terkecuali dijangkiti virus ini seorang demi seorang.
Sebenarnya, ini drama yang berlanjutan dari tahun 2020 lagi.

Setelah 22 bulan kemaruk kuasa di blok pembangkang, UMNO akhirnya kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan. Namun, dinamik politik Malaysia sudah berubah.

UMNO bukan berada pada kedudukan yang dominan. Norma baharu politik ini tidak dapat diterima sama sekali oleh pucuk pimpinan UMNO.

Sebagai seorang ahli biasa UMNO yang aktif di peringkat cawangan, saya cukup kecewa dengan kepemimpinan UMNO yang cukup lemah. UMNO seperti tiada hala tuju yang jelas.

Segelintir pucuk pimpinan parti sanggup menggadaikan maruah parti dan mengabaikan perjuangan hanya untuk lepas daripada kes-kes peribadi di mahkamah. Parti dijadikan perisai untuk melindungi diri daripada disumbat ke penjara.

Kestabilan politik negara yang selama ini merupakan asas kemakmuran Malaysia diganggu-gugat dengan ugutan demi ugutan UMNO untuk keluar daripada Kerajaan PN.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diasak dan diugut oleh pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang satu ketika dahulu bersama-sama bersetuju membentuk kerajaan.

Kerajaan PN walaupun tidak sempurna, adalah sebuah kerajaan yang peka akan masalah rakyat dan jauh lebih baik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelumnya.

Kerajaan yang mendokong perjuangan Melayu dan Islam ini bukan sahaja nampak lebih mengutamakan rakyat tetapi juga cakna terhadap rakyat yang miskin dan memerlukan. Namun demikian, ini semua tidak dipandang oleh segelintir pemimpin UMNO.

Oleh kerana tertekan ingin menjayakan agenda tersendiri, Presiden parti sanggup menggadaikan maruah UMNO untuk bekerjasama dengan musuh-musuh tradisi UMNO yakni Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti DAP.

Apa guna selama ini jika kita di bawah berjuang untuk menentang DAP dan akhirnya mereka dengan tangan dan hati terbuka menerima semata-mata hanya mahu menyelamatkan hayat politik beberapa pemimpin UMNO. Ini tidak boleh diterima sama sekali!

Advertisements

Namun demikian, tahun 2021 ini diharapkan agar ada semangat baharu dalam kalangan ahli-ahli akar umbi untuk bangkit demi mengembalikan UMNO ke landasan yang betul.

Pemilihan parti sepatutnya diadakan tahun ini dan diharapkan tidak ditunda lagi. Sudah tiba masanya untuk ahli-ahli UMNO menzahirkan rasa ketidakpuasan hati kepada pucuk pimpinan.

Empat perkara yang harus dilakukan UMNO pada tahun 2021:

Pertama- Menukar pucuk pimpinan. Presiden parti perlu berundur dengan segera. Kepimpinan Zahid sebagai Presiden merupakan zaman gelap UMNO.

Zahid telah gagal memulihkan imej UMNO pada mata rakyat Malaysia setelah Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi punca kepada kekalahan teruk UMNO dalam pilihan raya umum lalu.

Sudah tiba masanya seorang Presiden yang kuat dan mampu menyatupadukan kabilah UMNO yang berpecah dipilih. Presiden yang bakal dipilih perlulah bebas daripada sebarang kes mahkamah dan boleh diterima segenap lapisan rakyat Malaysia bukan sahaja orang Melayu.

Kedua– Beri sumbangan positif dalam membantu pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19. Pemimpin UMNO perlu menggunakan semua jawatan yang diberikan dalam kerajaan untuk membuat sumbangan besar untuk membina semula negara tanpa berkira dan ikhlas dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketiga– UMNO perlu memperkuat Barisan Nasional (BN). Apabila BN kuat, kedudukan UMNO sebagai kuasa politik akan terjamin tidak kira apa jua jajaran baharu yang mahu dipelopori. Seeloknya BN kekal dalam Kerajaan PN sebelum dan selepas pilihan raya umum.

BN perlu terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Pada masa yang sama parti itu perlu mempersiapkan calon Perdana Menteri yang kuat bagi menggantikan Muhyiddin apabila beliau mahu berundur satu hari nanti.

UMNO perlu mengetengahkan pemimpin yang prihatin pada rakyat, dan bebas daripada masalah-masalah mahkamah untuk menjadi pelapis kepada Muhyiddin.

Keempat– UMNO perlu meletakkan calon-calon muda yang berkaliber dan mempunyai masa depan yang cerah sebagai calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sudah tiba waktunya, dinosour parti direhatkan dan memberi laluan kepada 50 peratus calon muka baharu di bawah usia 40 tahun. Dalam kalangan calon muda pula, pilihlah mereka yang berwibawa, berketerampilan sederhana dan bukan daripada dinasti-dinasti politik semata mata.

Janganlah meletakkan calon-calon skema UMNOputra yang gemar menghabiskan masa di padang-padang golf, hidup bermewah dan bermegah dalam media sosial.

Jika UMNO melakukan empat perkara ini, UMNO akan berjaya keluar daripada kemelut yang dihadapi hari ini menjadi parti lebih kuat dan berjaya. UMNO yang mampu berubah akan mampu membawa perubahan yang besar dan bermakna untuk Malay

  • Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan