25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Dipenjara 2 tahun infaq RM100 bantu pengganas Daish

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Dua rakan dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, kerana memberi bantuan kewangan RM100 bagi melakukan aktiviti keganasan di Indonesia, tiga tahun lalu.

Memetik Bernama, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Syazani Mahzan dan Muhamad Nuurul Amin Azizan selepas mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu dan memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 14 Mei 2019.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Izhanudin Alias memohon hukuman setimpal atas alasan kes berkaitan kumpulan pengganas Daish adalah kes global yang semakin meningkat dan mahkamah perlu memandang serius kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Wang yang diinfakkan walaupun berjumlah RM100, diberikan kepada pengganas yang berada di Indonesia untuk menghasilkan senjata api, malahan tertuduh pernah pergi ke sana (Indonesia) dan belajar membuat bahan letupan.

“Walaupun trend hukuman yang diputuskan oleh mahkamah antara dua ke 10 tahun, namun pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang tinggi,” katanya yang turut dibantu TPR Mohd Farhan Aliff Ahmad.

Muhammad Syazani dan Muhamad Nuurul Amin, kedua-duanya berusia 29 tahun, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas iaitu dengan cara memberi bantuan kewangan RM100 (setiap seorang) kepada warga Indonesia, Fatoni Amin Tohari yang diserahkan kepada seorang rakyat tempatan, Mohd Izham Razani, untuk disalurkan ke dalam akaun Bank Rakyat Indonesia milik Agus Riyadi bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di BFC Exchange Malaysia Sdn Bhd beralamat di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah, pada jam 4.29 petang 6 Mac 2018, mengikut Seksyen 130Q Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana harta itu.

Mohd Izham sebelum ini sudah dijatuhi hukuman penjara dua tahun juga atas kesalahan sama.

Sebelum ini, Muhammad Syazani, penjual burger dan Muhamad Nuurul Amin, petani, menghadapi pertuduhan dengan niat dari Malaysia pergi ke Jogjakarta, Indonesia melalui Jakarta, Indonesia, bagi melakukan perbuatan pengganas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2, Sepang, pada jam 6.55 pagi 26 April 2018.

Pertuduhan itu adalah di bawah perenggan 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh berhubung dengan lelaki Indonesia bernama Agus Melasi Alm Ridwan atau dikenali sebagai ‘Abad Kawa’ melalui aplikasi ‘Telegram’ sekitar bulan Februari 2018 dan Abad Kawa merekrut tertuduh untuk berjihad serta menyertai kumpulan pengganas Daish.

Abad Kawa kemudian menghantar melalui Telegram kepada Muhammad Syazani berkenaan cara-cara pembuatan bom yang diperoleh melalui sebuah buku tutorial dan tertuduh serta Mohd Izham kemudian telah membuat dan menguji bom itu sehingga membuahkan hasil.

Sekitar Mac 2018, Abad Kawa meminta bantuan kewangan daripada Muhammad Syazani dan Mohd Izham untuk memberikan dana kepada Fatoni atau dikenali sebagai ‘Abu Tony’ kerana Abu Tony memerlukan dana untuk membuat senjata api buatan sendiri yang akan digunakan untuk menyerang penjara bagi membebaskan tahanan pengganas di Jakarta.

Pada 6 Mac 2018, tertuduh bersetuju untuk mengutip wang sebanyak RM100 setiap seorang untuk disumbangkan kepada Abu Tony dan mereka melalui rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah telah mengaku bahawa mereka telah memberi secara berkongsi dana tersebut sebagai infak kepada Abu Tony.

Menurut siasatan, Abu Tony ditangkap pada 19 Jun 2018 kerana menerima dana sebanyak satu juta rupiah untuk membantu kesemua tertuduh yang juga ahli kumpulan Telegram Jihad Nyata untuk membuat senjata jenis pistol.

Terdahulu, peguam Tan Teck Yew yang mewakili Muhammad Syazani dan Muhamad Nuurul Amin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak-anak guamnya adalah pesalah pertama dan telah insaf atas perbuatan mereka.

“Kedua-dua tertuduh bersama Mohd Izham telah ke Indonesia untuk dalami ajaran Islam, bila sampai sana mereka telah bergaul dengan rakan-rakan yang ada pegangan IS (Islamic State) dan telah tersilap langkah kerana itu bukan pegangan betul dalam Islam. Sepanjang setahun lebih ditangkap, tertuduh jalani kaunseling, kursus pembangunan insan dan tidak pernah gagal hadiri apa-apa kelas agama dikendalikan oleh penjara,” katanya.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan