30.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kerajaan laksanakan tiga peringkat PKP, kekang penularan Covid-19

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Melalui pelaksanaan tiga peringkat itu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat untuk tempoh yang sama manakala PKP Pemulihan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

MUHYIDDIN YASSIN

Ketika mengumumkan perkara itu dalam perutusan khas hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

‘’KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,’’ katanya.

Beliau berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

 ‘’Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKP-P, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat. Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan,’’katanya.

Advertisements

Perdana Menteri berkata, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja manakala agi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. 

‘’Bagi sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.

‘’Sektor ini dibenarkan beroperasi kerana peranannya menyokong kerja-kerja membekal keperluan asas seperti makanan, minuman dan barangan keperluan rumah serta penjagaan diri; kelengkapan PPE, peranti perubatan dan ubatan kepada petugas kesihatan; aktiviti perdagangan antarabangsa; memastikan rantaian bekalan tidak terputus dan menyokong infrastruktur kritikal dan kerja-kerja kecemasan,’’ katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan yang dibenarkan berada di pejabat manakala bagi pekerja di dalam kumpulan sokongan, jumlah pekerja yang diperlukan pada satu-satu masa akan ditentukan oleh majikan masing-masing. 

‘’Ingin saya ingatkan, jumlah pekerja yang ditentukan mestilah mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan. Jangan sampai tiada penjarakan fizikal langsung sewaktu berada di tempat kerja.Mana-mana majikan yang melanggar SOP dan menyebabkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja, tindakan tegas akan diambil berdasarkan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan,’’ katanya.

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan