34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KKM kesan kes pertama varian UK B.1.1.7 di Malaysia

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  mengesan kes pertama Covid-19 varian UK B.1.1.7 atau 202012/01 mutasi protein Spike dari United Kingdom (UK) di Malaysia, semalam.

NOOR HISHAM ABDULLAH – Foto Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes tersebut dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK pada bulan Disember 2020. 

Pengembara tersebut katanya didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut. 

“Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk dari United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India,” katanya menerusi hantaran Facebook, malam tadi.

Dr Noor Hisham memberitahu,  sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan KKM telah melakukan “genome sequencing” bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel.

Namun setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut. 

“KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

“Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak menyebabkan gejala yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat,” katanya.

Beliau menambah, orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka terutamanya di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan