KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa enggan mengulas laporan berita berhubung pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa hari ini.
“Ramai yang minta komen, saya tiada apa komen buat masa ini. Tempoh bertenang,” tulisnya dalam ciapan terbaharu, hari ini.

Dalam ciapan itu, Annuar turut menyertakan tangkap layar teks WhatsApp yang dihantarnya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Antara kandungan teks itu, Annuar memaklumkan kepada Ahmad Zahid bahawa beliau dimaklumkan media berhubung pemecatannya sebagai Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Muafakat Nasional (MN).
“Saya ucapkan ribuan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan tersebut.
“Selamat maju Jaya Datuk Seri Presiden. Salam hormat,” tulis Annuar lagi dalam teks itu.
Hari ini, media melaporkan, BN memecat Annuar sebagai Setiausaha Agung gabungan politik itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut sumber, keputusan memecat Annuar dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di dalam satu mesyuarat UMNO dengan Ketua Bahagiannya di sini.
Difahamkan, ahli Parlimen Ketereh itu digantikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung bersama Muafakat Nasional.
Annuar juga difahamkan tidak lagi menyandang jawatan Setiausaha Bersama Muafakat Nasional (MN).
Namun, beliau masih menganggotai UMNO dan kekal dengan jawatannya dalam Kabinet.
Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini menegaskan, beliau sedia dipecat daripada parti itu sekiranya kritikannya berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam tidak disenangi ahli serta pemimpin akar umbi parti berkenaan.
Beliau dilihat lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN) ketika sentimen berbeza dalam UMNO yang merupakan parti dominan dalam BN.