32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Tak timbul soal ‘derhaka’, lihat kemelut secara menyeluruh – Pas

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, tidak timbul soal ‘derhaka’  dalam isu politik di Perak kerana kerana sesuatu kemelut itu harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian.

Menerusi hantaran Facebook, Tuan Ibrahim berkata, Pas yakin mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat. 

Menurutnya, dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan. 

“Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan. Alhamdulillah kemelut ini tidak mengambil masa yang lama. 

“Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan muafakat politik,” tulis beliau malam tadi.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dibuat beberapa jam selepas Pas Perak menzahirkan permohonan maaf kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kekhilafan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu tidak menghadap seperti dititahkan baginda, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria, berkata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri dijadual akan mengadap baginda, namun tarikh dan waktunya masih belum diketahui.

Tiga ADUN Pas, dari kiri; Razman Zakaria (ADUN Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (ADUN Selama) dan Khalil Yahaya (ADUN Kubu Gajah).

Beliau juga mengesahkan surat tersebar di media sosial, berkenaan permohonan Abdul Hadi untuk mengadap Sultan Nazrin adalah benar.

Advertisements

“Maka kami, saya Razman Zakaria (ADUN Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (ADUN Selama) dan Khalil Yahaya (ADUN Kubu Gajah) dengan rendah diri menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Nazrin di atas kekhilafan tidak dapat mengadap seperti dititahkan baginda kepada kami bertiga pada 3 petang Selasa lalu.

“Sehubungan itu, PAS Perak akan mengutuskan surat memohon ampun dan maaf atas perkara itu,” katanya, semalam.

Tuan Ibrahim dalam pada itu berkata, Pas melihat isu yang paling utama dalam kemelut politik di Perak selesai hasil muafakat bersama. 

Ujar beliau, soal ADUN Pas di lantik sebagai exco atau tidak adalah hak Sultan Nazrin. 

“Pas akur apa sahaja yang baik pada pandangan Tuanku (Sultan Nazrin) kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan Tuanku,” jelasnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, isu kemelut politik di Perak berjaya diredakan bila Pas, Bersatu dan UMNO bersetuju mengekalkan muafakat dan menyokong perlantikan Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar.

Katanya, pelantikan lima exco membolehkan Kerajaan Perak berfungsi dan pentadbiran berjalan.

“Tentunya akan ada pertambahan exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri. Ini kita serah sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku,” tambah beliau.

Advertisements

Terkini

Sistem eDKK dinaik taraf menjadi sistem bersepadu ANAK – Nancy

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses menaik taraf Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK)...

Lagi Artikel Berkaitan