27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Serangan harimau: Operasi tangkap inisiatif terakhir PERHILITAN

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan operasi tangkap dan pindah sebagai inisiatif terakhir sekiranya usaha menangkap harimau belang di Felda Kerteh 4, Kemaman, Terengganu menggunakan perangkap gagal.

PERHILITAN dalam satu kenyataan berkata, beberapa tindakan lain turut diambil seperti pemasangan camera trap bagi memantau kehadiran dan pergerakan harimau tersebut selain melakukan perbincangan bersama ketua kampung dan pihak penternak bagi mengurung ternakan mereka sehingga keadaan selamat. 

Menurutnya, pemasangan perangkap Harimau Belang telah dilakukan pada 2 Disember 2020 dan tambahan dua unit perangkap lagi akan di pasang di sekitar kawasan terlibat pada minggu ini. 

“Jabatan PERHILITAN menasihati orang awam supaya tidak mengambil tindakan sendiri untuk membunuh atau menghalau harimau terbabit sebaliknya menyalurkan maklumat tersebut ke Talian Hotline Jabatan PERHILITAN 1800-88-5151 jika terserempak dengan hidupan liar tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Dua lagi perangkap akan dipasang minggu ini.

PERHILITAN menjelaskan, jabatan itu telah melakukan pemantauan secara berterusan di lokasi kejadian sejak menerima aduan kehadiran binatang liar itu pada 24 November lalu.

Kejadian itu kemudiannya tular dalam media sosial berkenaan serangan harimau belang ke atas ternakan orang kampung di Felda Kerteh 4, Kemaman pada 8 Disember.

Sinar Harian melaporkan, seramai 30 penternak lembu di Felda Kerteh 4 tidak dapat tidur lena apabila kira-kira 20 ekor haiwan ternakan mereka dibaham harimau sepanjang tahun ini melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM50,000.

Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd Azimi Hassan berkata, serangan terbaharu dilaporkan berlaku pada dua minggu lepas dan dalam tempoh tersebut enam ekor lembu milik dua penternak mati dibaham pak belang.

“Kehadiran harimau di sini sudah dikesan lama sejak 2018 lagi. Saya anggarkan ada empat hingga lima ekor harimau berkeliaran di lokasi berbeza dan mereka jadikan lembu penternak sebagai sasaran.

“Tahun ini saja 20 ekor lembu mati akibat dibaham dan serangan terbaharu dikesan pada 24 November lalu. Dalam tempoh seminggu itu, tiga ekor lembu milik seorang penternak turut dibaham.

“Lembu-lembu ini bukan semua dimakan. Ada yang diseret pergi, ada dimakan sebahagian anggota sahaja dan ada ditinggalkan begitu sahaja,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan