KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa menziarahi ibu kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Tun Rahah Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court, petang ini.
Dalam hantaran Facebook Perdana Menteri malam ini, Muhyiddin berkongsikan dua keping gambar ketibaannya di premis itu yang diiiringi oleh Najib.

Pada satu lagi gambar, Muhyiddin dirakam sedang berbual dengan adik Najib, Datuk Seri Mohamed Nazir Razak.
Pada hantaran itu, Muhyiddin meminta rakyat sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar Tun Rahah yang merupakan balu Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak dan juga bonda Najib diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan.
Sementara itu, gambar Muhyiddin dan Najib berjalan seiringan tersebut mendapat perhatian netizen yang suka melihat kedua-dua pemimpin berkenaan seperti sudah berbaik semula.
Muhyiddin merupakan Timbalan Perdana Menteri semasa Najib menjadi Perdana Menteri namun ahli Parlimen Pagoh itu kemudiannya dipecat Najib dalam krisis kepercayaan berhubung skandal 1MDB.