26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Maritim Malaysia tahan bot kelas C langgar syarat lesen

Mesti Baca

ALOR SETAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menahan sebuah bot pukat tunda nelayan tempatan Kelas C kerana melanggar syarat lesen dalam satu kejadian, semalam.

Empat warga asing yang juga kru bot turut ditahan Maritim Malaysia semasa satu rondaan operasi Op Benteng Laut di posisi sekitar 3 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 4.20 petang bersama lima kru termasuk tekong.

Antara kru bot nelayan yang ditahan Maritim Malaysia. Foto FACEBOOK MARITIM MALAYSIA

Katanya, tekong dan tiga kru merupakan warga Thailand serta seorang kru warga Kemboja berusia diantara 35 hingga 51 tahun.

“Hasil pemeriksaan mengesyaki bot tersebut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen dan kesalahan di bawah seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmad Faizal berkata, kelima-lima nelayan yang ditahan telah melakukan ujian saringan Covid-19 mengikut SOP ditetapkan. 

Bot bersama hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 2 tan itu katanya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka akan didakwa di mahkamah atas kesalahan menggunakan mata pukat tidak mengikuti spesifikasi atau peralatan yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.


“Selain itu, bagi kesalahan dibawah seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 pula boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya. 

Sementara itu, Mahmad Faizal berkata, pengusaha bot nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.


Pihak Maritim Malaysia tegas beliau tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

“Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” tambahnya.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan