KUALA LUMPUR – Semakin banyak kluster Covid-19 terjadi akibat daripada perhimpunan sosial dan tempat awam sejak kebelakangan ini kerana tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perlanggaran SOP itu turut berlaku pada perhimpunan besar-besaran yang melibatkan kaum keluarga, majlis keraian dan upacara keagamaan.

Katanya, perhimpunan-perhimpunan ini telah turut dihadiri oleh individu-individu yang bergejala.
“Sebagai contoh Kluster Enggor di Perak serta Kluster Indah Mas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang bermula dengan perhimpunan keluarga dan seterusnya telah merebak dalam komuniti.
“Selain itu, Kluster Inai dan Kluster Jambul di Sabah adalah antara kluster yang berpunca daripada majlis keraian.
“Kluster Mentari yang melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berpunca daripada upacara keagamaan membabitkan ahli keluarga serta kenalan yang hadir dalam satu upacara kematian di Nilai, Negeri Sembilan,” tulis beliau di Facebook hari ini.
Dr Noor Hisham dalam pada itu berkata, penjarakkan fizikal sememangnya sukar diamalkan di kawasan yang sesak dan sempit, namun mengambil iktibar daripada kluster terbabit, masyarakat dinasihatkan untuk akur dan patuh kepada nasihat yang diberikan.
Ujarnya, ini bagi mengurangkan risiko jangkitan di dalam komuniti.
“Orang ramai diminta supaya mematuhi SOP dalam semua keadaan dan di semua tempat memandangkan aktiviti perhimpunan yang dianjurkan tanpa pematuhan akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 kepada orang ramai.
“Adalah amat penting bagi kita sentiasa berwaspada dan berusaha melindungi diri sendiri, keluarga dan juga masyarakat di sekeliling kita daripada mendapat jangkitan Covid-19.
“Biasakan yang betul, dan betulkan yang biasa,” katanya mengulangi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) kepada orang ramai supaya mematuhi SOP ketika menghadiri sebarang jenis perhimpunan dan ketika berada di tempat awam.