28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Kemelut Perak selesai selepas Zahid minta maaf, Shaarani bakal MB

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Kemelut politik di Perak selesai hari ini selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN parti itu di atas kekhilafan pada Jumaat lalu yang menyaksikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ‘tersingkir’ dari kerusi Menteri Besar selepas gagal dalam undi percaya yang dikemukakan oleh UMNO.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut kenyataan tersebut, permohonan maaf oleh Ahmad Zahid dilakukan dalam perbincangan dengan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini.

‘’Atas semangat permuafakatan Perikatan Nasional, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan Datuk Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,’’ kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu juga memberitahu, perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

‘’Ketiga-tiga parti turut sepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional di Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,’’ kata kenyataan itu.

Krisis politik di Perak tercetus apabila UMNO mengemukakan usul percaya kepada Ahmad Faizal. Bagaimanapun hasil pengundian menyaksikan ADUN Chendering kalah dengan 48 tidak bersetuju manakala 10 bersetuju.

Lebih mengejutkan kesemua ADUN UMNO turut mengundi tidak bersetuju walaupun usul itu dibawa oleh parti tersebut.

Lanjutan itu hubungan antara UMNO dan Bersatu menjadi tegang kerana Bersatu menganggap apa yang berlaku adalah pengkhianatan memandangkan UMNO turut berada dalam Perikatan Nasional – gabungan yang memerintah Perak.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan