25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Jenazah Tun Rahah selamat dikebumikan di Makam Pahlawan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarhamah Tun Rahah Mohd Noah selamat dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara kira-kira pukul 3.45 petang ini.

Hujan renyai mengiringi pengebumian balu kepada bekas Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak Hussein itu yang diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara.

Tun Rahah meninggalkan lima orang anak.

Ibu kepada Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Najib Razak itu, dikebumikan bersebelahan pusara kakaknya, Tun Suhailah yang juga ibu kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Memetik Berita Harian, pengebumian itu dihadiri Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta ahli keluarga terdekat, selain Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta pemimpin kanan kerajaan dan parti politik.

Ia turut disaksikan puluhan orang ramai dari luar pagar Masjid Negara yang menanti sejak jam 12.30 tengah hari tadi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Istiadat Pengebumian Negara itu bermula pukul 2.30 petang dengan solat jenazah diketuai Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Husni dan disertai Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Najib serta hadirin lain.

Selesai solat jenazah, istiadat diteruskan dengan pengebumian jenazah. Ketika pengebumian, Najib turut membantu mengangkat jenazah bondanya untuk turun ke liang.

Dalam nada sebak Ehsan kemudian mengetuai bacaan talkin. Ahli keluarga Rahah serta Raja Permaisuri Agong turut dilihat beberapa kali menyeka air mata ketika talkin dibacakan.

Tunku Azizah kemudian berkenan memulakan upacara siraman air mawar ke pusara Allahyarhamah, disusuli Muhyiddin, Najib, Rosmah dan anak lelaki Allahyarhamah yang lain serta anakanda Yang di-Pertuan Agong.

Istiadat kemudian berakhir dengan penyerahan bendera Malaysia daripada wakil kerajaan kepada Najib yang mewakili ahli keluarga Allahyarhamah.

Ia disusuli keberangkatan pulang Tunku Azizah serta pergerakan pulang Perdana Menteri, ahli keluarga dan orang ramai.

Terdahulu, jenazah dibawa dari kediaman rasminya di Jalan Eaton, dekat ibu negara dan tiba di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di sini pada jam 7.50 pagi untuk dimandi dan dikafankan oleh petugas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Orang ramai yang menanti di luar pintu masuk Masjid Ar-Rahah hanya dibenarkan masuk untuk memberikan penghormatan terakhir pada jam 9 pagi tadi secara berperingkat oleh pasukan keselamatan.

Pendekatan itu diambil bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), seiring pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur yang berkuat kuasa hingga 31 Disember ini.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan isteri, Tuanku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang tiba di Masjid Ar-Rahah, Kerinchi pada pukul 9.17 pagi.

Selain itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut memberi penghormatan terakhir setelah tiba pada pukul 9.50 pagi.

Turut memberi penghormatan terakhir ialah, Tun Dr Mahathir Mohamad yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz.

Dr Mahathir dalam pada itu menyifatkan Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah banyak menabur jasa dalam membantu suaminya, Tun Abdul Razak Hussein ketika menjadi Perdana Menteri Kedua.

Beliau yang mempunyai hubungan akrab dengan keluarga Tun Razak itu juga menyifatkan Allahyarhamah sebagai antara generasi merdeka terakhir yang tidak ternilai jasa dan sumbangannya kepada negara.

“(Beliau) generasi ‘merdeka’… tak banyak orang yang generasi merdeka yang masih ada (hidup). Mungkin (beliau) antara yang terakhir.

“Dia membantu Tun Razak (Tun Abdul Razak Hussein) semasa Tun Razak jadi Perdana Menteri (Kedua)…,” kata Dr Mahathir.

Rahah, 87, meninggal dunia petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Prince Court, meninggalkan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan