KUALA LUMPUR – Seorang lelaki sempat menemani isterinya menghadiri temuduga di sebuah hospital swasta di sini sebelum dia tidak sedarkan diri di dalam kereta, petang semalam.
Bagaimanapun, Mohd Ashraf Rosli, 35, disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Nurul Ain Mohd Razip, 31, berkata, ketika kejadian, dia menghadiri temu duga sebagai jururawat di hospital itu sementara suami, serta tiga anaknya berusia 10 bulan hingga enam tahun menunggu di dalam kereta.
Namun katanya, dia tidak sedap hati selepas suaminya memaklumkan dia mengalami sakit di dada ketika menghantarnya.
Katanya, ketika sedang menunggu giliran, dia berbalas Whatsapp dengan suami kerana bimbangkan keadaannya.
“Kira-kira pukul 3.45 petang, saya menghubungi telefon bimbit suami kerana kiriman Whatsapp tidak berjawab.
“Namun saya terkejut apabila panggilan telefon disambut anak sulung yang menangis memaklumkan suami tidak sedarkan diri,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.
Nurul Ain berkata, suaminya yang bertugas di bahagian teknologi maklumat hospital sama bagaimanapun tidak dapat dikesan di parkir kakitangan.
Katanya, mujur ada orang awam yang melihat anaknya menangis di dalam kereta sebelum meminta bantuan pengawal keselamatan untuk memberikan bantuan kecemasan.
“Selepas menemui kereta di parkir suami di bahu jalan, ambulans segera membawanya ke bahagian kecemasan untuk bantuan namun tiada respons.
“Suami kemudian dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Katanya, jenazah suaminya akan dikebumikan di Bercham, Ipoh sebaik bedah siasat selesai dijalankan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Annuar Omar ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
“Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.