31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Gila kuasa punca penarafan Fitch negara jatuh

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9


ANALISIS

Oleh: MOHAMAD ASRI

Setelah menempuh pelbagai ranjau dan duri, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan dengan undi belah bahagi menyaksikan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 111 undi berbanding Pakatan Harapan (PH) 108 undi. Banyak peristiwa berlaku sepanjang perbahasan.

Di sebalik macam-macam pandangan, kritikan, kecaman dan ugutan ketika perbahasa peringkat dasar terutama daripada blok pembangkang dan segelintir ahli Parlimen UMNO, rang undang-undang itu lulus hanya dengan undian suara – sesuatu yang tidak disangka-sangka dan amat mengejutkan.

Apa tidaknya, jika dilihat kepada sikap pembangkang yang lantang ‘bukan main’ sepanjang sesi perbahasan, peluang untuk belanjawan tersebut diluluskan nampak tipis.

Bagaimanapun apa yang berlaku sebaliknya. Ahli-ahli Parlimen pembangkang kelihatan terpinga-pinga apabila melihat hanya ada 13 sahaja yang bangkit meminta undi belah bahagi!

Setelah lulus pada peringkat dasar, rang undang-undang ini diuji lagi pada peringkat jawatankuasa (kementerian) dengan serangan bertubi-tubi daripada blok yang sama. Pada akhir permainan, PN menang dengan cemerlang dengan keputusan 27-0. Keputusan itu memberi satu tamparan hebat kepada PH.

Setelah dua kali gagal, pembangkang melihat bacaan kali ketiga satu-satunya peluang yang berbaki bagi menggagalkan rang undang-undang ini. Selepas ini sudah tidak ada lagi. Lantas berlakulah beberapa peristiwa bagai dirancang-rancang.

Sehari sebelum undian diadakan, PH mengeluarkan satu kenyataan akhbar meminta seluruh ahli Parlimen termasuk daripada blok kerajaan menolak belanjawan tersebut.

Pada sebelah petang pula, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah membuat kemunculan bersama, berpadu tenaga dalam satu sidang akhbar.

Dua tokoh politik veteran yang masing-masing sudah berusia 95 dan 83 tahun dan pernah menjadi musuh ketat bercakap tentang misi selamatkan Malaysia’ dan mengakhiri majlis itu dengan menyatakan tidak menolak jika dipilih untuk menjadi Perdana Menteri lagi.

Bagaimanapun di sebalik percubaan itu, pembangkang gagal lagi. Mereka tewas dalam undi belah bahagi. Segala yang dirancang termasuk mendakwa mendapat sokongan daripada ahli-ahli Parlimen kerajaan ternyata tidak benar belaka.

Episod kegagalan demi kegagalan ini rupa-rupanya menjadi bibit-bibit awal perpecahan dalam pakatan tersebut. Hampir semua pemimpin pembangkang menyalahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua sekutu PKR iaitu Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP , Lim Guan Eng bagai tidak sabar-sabar lagi mengkritik Anwar menerusi satu kenyataan bersama.

Mereka meminta para pemimpin PH agar jangan membazir tenaga mengejar bayang-bayang dan membuang masa dengan ahli Parlimen oportunis .

Presiden Parti Warisan Datuk Seri Shafie Apdal juga meluahkan perasaan yang sama dengan menegaskan kepemimpinan pembangkang amat perlu diubah jika mahu menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Malah Warisan dari awal-awal lagi sudah menunjukkan protes dengan tidak mengambil bahagian dalam sebahagian besar perbahasan Belanjawan 2021.

Kenyataan itu dipercayai ditujukan kepada Anwar yang sibuk mendakwa mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi termasuk daripada BN bagi menjatuhkan kerajaan PN.

Walaupun sudah berpuluh tahun menjaja cerita jumlah sokongan sedemikian tetapi hakikatnya tidak pernah sekalipun jumlah yang dicanang itu menjadi kenyataan.

Cerita parti-parti komponen PH bertelagah sesama sendiri ini bukan cerita baharu. Mereka sudah lama bergaduh. Sepanjang 22 bulan memerintah, mereka sudah bergaduh berebut jawatan Perdana Menteri. Anwar bukan sekali mendesak Dr. Mahathir menyerahkan jawatan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan ketika kerajaan PH dibentuk.

Malah ketika Belanjawan 2021 hangat dibahaskan di Dewan Rakyat, para pemimpin parti pembangkang masih lagi sibuk bertelagah tentang siapa yang patut dipilih menjadi Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa. Nama Dr. Mahathir dan Anwar kekal menjadi pilihan namun sejak akhir-akhir ini nama Shafie pula muncul.

Ketika pakatan pembangkang sedang berantakan angkara kegagalan besar Anwar, parti-parti komponen PN dalam diam-diam, tanpa bising-bising menubuhkan Majlis Presiden Perikatan Nasional bagi mengukuhkan kerjasama sesama mereka dan mewujudkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Memang kerajaan PN mempunyai majoriti kecil tetapi jumlah itu tidak mengganggu barisan Kabinetnya melaksanakan tugas terutama dalam melawan pandemik Covid-19.

Ini berbeza dengan pembangkang yang tidak habis-habis siang malam, pagi petang sibuk berpolitik dengan topik tumpuan sudah tentulah jumlah kerusi bagi mengambil alih kerajaan sedia ada sedangkan semua itu bohong.

Tidak pernah sekalipun jumlah yang diuar-uarkan itu menjadi kenyataan. Pembohongan demi pembohongan yang dicanang itu akhirnya mula menimbulkan perasan curiga sesama mereka.

Sejak hilang kuasa juga, PH begitu sibuk dengan agenda mengumpul SD, sibuk merancang usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, sibuk berebut jawatan Perdana Menteri dan sibuk bercakaran dan menyalahkan sesama sendiri berikutan kegagalan menolak Belanjawan 2021. Ini semua berlaku kerana `kemaruk’ mahu kembali menjadi kerajaan.

Jika benar salah satu punca penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Rating baru-baru ini disebabkan ketidaktentuan politik, pembangkang turut perlu bertanggungjawab.

Penarafan itu jatuh kerana parti pembangkang yang banyak menimbulkan suasana tidak stabil dalam politik negara. Tindak-tanduk mereka yang mementingkan diri sendiri mengganggu pelbagai usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dalam era pandemik Covid-19 sedang menggila.

Keadaan ini amat berbeza dengan kerajaan PN yang lebih banyak berdiam diri dalam hal-hal berkaitan politik walaupun diserang dari arah kiri, kanan, depan dan belakang 24 jam sehari.

Semuanya hanya kerana mahu memberi tumpuan kepada belanjawan negara yang bertujuan menjaga keselamatan dan kesejahteraan hidup rakyat, melawan pendemik Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara.

Perbahasan Belanjawan 2021 menyerlahkan wajah sebenar ahli-ahli politik politik pembangkang dan segelintir daripada UMNO. Sebahagiannya sangat berpengalaman tetapi sedikitpun tidak digunakan untuk membantu ketika negara sedang berperang dengan pandemik.

Mereka lebih rela menjadi tikus-tikus kurap yang merosak dan memporak-perandakan negara. Jadi dalam hal ini, siapa sebenarnya yang menimbulkan ketidakstabilan politik sehingga kedudukan Malaysia jatuh? Para pemimpin Perikatan Nasional yang bekerja keras atau Pakatan Harapan yang gila kuasa?

  • Tulisan ini adalah pendangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi9.

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan