24.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Jangan mudah menghukum seseorang Melayu murtad – Dr Zulkifli

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri meminta mana-mana pihak tidak semudahnya menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya.

Beliau menegaskan,  sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, maka sewajarnya dielakkan.

Oleh itu katanya, beliau menasihatkan dirinya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menanggapi sebarang isu yang berlaku dengan berhemah.

Menurutnya, sebagai seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam.

”Islam menuntut umatnya untuk mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

“Tangkap layar rakaman video atau hantaran di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier yang ada kemungkinan sahih atau tidak.

”Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya.

”Harapan saya adalah semoga kita dapat bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berautoriti iaitu pihak berkuasa agama negeri. Saya yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesaikan dengan hikmah dan bijaksana.

”Tindakan mempolitikkan isu-isu sensitiviti agama seperti ini adalah perbuatan yang tidak matang, malah tidak menguntungkan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli mengulas mengenai isu majlis perkahwinan antara seorang gadis, Illi Najwa Saddique dengan kapten pemain hoki India, Manpreet Singh Pawar  yang menimbulkan perdebatan di media sosial.

Pasangan itu menjalinkan hubungan cinta sejak lapan tahun lalu. Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.


Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi yang lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Beliau berkata, perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Ujarnya ini kerana, pasangan yang bukan Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin.

“Di Malaysia, seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap dua Kalimah Syahadah dan mendaftarkan keislaman tersebut di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru.

Advertisements

“Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan.

”Saya dimaklumkan hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor,” tambahnya sambil meminta semua berdoa agar pasangan tersebut dikurniakan Allah taufik dan hidayah.


Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita dari negeri itu yang dilaporkan berkahwin dengan pemain hoki warga India, minggu lalu.

Baginda bertegas mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada kedutaan Malaysia di India.

Titah baginda, sebagai Ketua Agama Islam Johor, dirinya bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

“Saya berkeyakinan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor akan memberikan pertolongan diperlukan kepada wanita berkenaan bagi mengekalkan akidah wanita itu dalam lingkungan syariat Islam.

“Apa juga berita yang kita terima berkaitan dengan silaturahim sesama umat Islam, perlu diteliti tanpa prasangka buruk. Kita perlu berlapang dada dan berbaik sangka.

“Kita juga perlu dan mengambil tindakan meneliti berita berkenaan dari sumber yang pasti dan tepat,” titah baginda menerusi kenyataan menerusi akaun Facebook rasmi hari ini.

Sultan Ibrahim turut dukacita dengan penularan berita perkahwinan wanita terbabit yang dikatakan melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan hukum syarak di India.

“Saya berasa dukacita apabila terdapat berita yang bertebaran di media berkaitan seorang wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan yang tidak berdasarkan hukum syarak di India.

“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita berkenaan dalam tempoh terdekat.

“Sementara itu, saya menasihatkan semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra-matang dalam berita ini.

“Wanita itu sedang melalui proses penghakiman melalui platform media sementara dia tidak mengisytiharkan ingin keluar dari agama Islam.

“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan menghukum beliau, maka kita akan melihat tembok yang tinggi untuk dia kembali semula ke negara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan dia di India,” titah baginda.

Baginda turut menitipkan nasihat kepada wanita terbabit supaya memastikan segala tindakan atau keputusan dibuat, mendapat restu ibu bapa dan tidak melanggar norma agama Islam.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan