SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan kebimbangan baginda berhubung desas-desus mengenai isu kestabilan kerajaan walaupun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah enam bulan berlalu.
Ini selepas pemimpin yang dipilih melalui PRU yang lalu dilihat masih belum bersepakat, malah terdapat gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu, dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
“Namun, sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina. Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini? Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui hantaran di Facebook.
Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na’aman memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Beliau turut menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook kelmarin sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.
“Saya kira, angka ini signifikan hingga ramai çyber troopers prokerajaan meroyan di laman Facebook saya. Saya fikir pihak sebelah sana (Kerajaan Perpaduan) pun tahu kebenarannya,” katanya memetik laporan BHOnline pada Rabu. – Edisi 9