30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Lelaki mengaku sebar berita palsu untuk main-main, hiburan

Mesti Baca


JAKARTA – Tindakan seorang lelaki menyebar berita palsu di Facebook dengan mendakwa Kota Malang dekat Jawa Timur sebagai zon hitam Covid-19 mengundang padah apabila dia dicekup polis, baru-baru ini.

Suspek yang hanya dikenali sebagai AC, 52, merupakan penduduk Sendangagung RT 3 RW 3 mukim Paciran, daerah Lamongan kini berdepan hukuman penjara maksimum enam tahun dan denda 1bilion rupiah (RM288,414) akibat perbuatannya.

Hantaran AC yang tular

Dalam pengakuannya kepada polis, AC berkata, dia hanya mencari hiburan untuk mengisi masa lapang dengan memuatnaik hantaran itu tanpa mengetahui kesannya kepada orang ramai.

Menurut AC, dia menyesal dan memohon maaf  atas perbuatannya kerana tidak mengetahui menyebarkan berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Tiada motif lain melainkan untuk main-main dan untuk hiburan.

“Saya orang bodoh, saya orang desa. Main-main buat hiburan, itu saja maksud saya. Saya menyesal seumur hidup. Satu kali ini sahaja. 

“Sumpah saya mohon maaf sebesar-besarnya kepada Ketua Polis Malang Kota, semuanya saya minta maaf,” katanya.

Berita palsu AC yang dimuatnaik di media sosial pertengahan bulan ini memetik Ketua Polis Malang Kota sebagai berkata, Kota Malang kini menjadi zon hitam Covid-19 dan penduduk luar dilarang masuk daerah ini.

Ketua Polis Malang Kota, Leonardus Simarmata berkata, suspek ditangkap Khamis lalu di rumahnya di Lamongan.


Kes suspek katanya akan disiasat mengikut pasal 14 Undang-Undang RI nomor 1 tahun 1946 tentang penyebaran berita bohong subsider pasal 45 ayat 3 Undang-Undang RI nomor 19 tahun 2016 tentang informasi dan transaksi elektronik.


Leonardus berkata, pelaku menyebarkan maklumat palsu itu melalui akaun Facebooknya yang bernama ‘Amar Senengan Ku’. 


Berita palsu itu tular dan membuat warga resah.


“Akibatnya ini menimbulkan keresahan. Bukan hanya dirasakan oleh masyarakat Kota Malang, tapi juga masyarakat Jawa Timur yang akan ke Kota Malang,” kata Leonardus, semalam.

Setelah viral, suspek memadam hantarannya namun polisi masih berhasil mengesan pelakunya.
“Sudah dipadam oleh yang berkaitan. Tapi kita masih dapat menarik kembali dan menjadikan barang bukti,” katanya.

Dengan timbulnya kes itu, Leonardus meminta kepada masyarakat supaya tidak menyebarkan informasi yang belum jelas kepastiannya.

“Jangan buat atau menyebarkan berita palsu yang tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana is satu perbuatan jenayah,” katanya.

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan