KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen bagi setiap unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 2020.
Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan perkara itu dalam sidang media secara maya melalui laman Facebook rasmi perbadanan tersebut, pagi ini.
Beliau berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-30 PNB, pemberian ehsan 0.75 sen seunit turut diberikan bagi 30,000 unit pertama ASB.
Agihan pendapatan yang keseluruhannya melibatkan nilai RM7.6 bilion itu melibatkan seramai 10.2 juta pemegang saham ASB.
Beliau berkata, pendapatan itu dianggap sebagai pulangan terendah dalam sejarah dana tetap itu.
Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit
Katanya, unit yang dilaburkan semula dari pengagihan pendapatan dan bonus akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2021.
Sementara itu, Zeti berkata, strategi kepelbagaian portfolio ASB terus mencatatkan kemajuan pada tahun ini dengan peningkatan pendedahan kepada ekuiti antarabangsa, ekuiti persendirian, hartanah dan pendapatan tetap.
Ujarnya, pelaburan dalam aset antarabangsa pula telah meningkat kepada 5.9 peratus berbanding 3.6 peratus pada tahun lepas.